CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 305|Reply: 0

[Sabah] GLOPEC peluang usahawan IKS Sabah sertai pasaran global

[Copy link]
Post time 27-1-2022 09:36 PM | Show all posts |Read mode


PRODUK TEMPATAN: Gulamhaidar (tengah) melawat tapak pameran produk IKS tempatan pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Usaha kerajaan dalam memperkasakan pembangunan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) B40 dan M40 di negeri ini terus dipergiatkan menerusi Program 'Global Entrepreneur One Stop Centre' (GLOPEC).

Kerjasama Kumpulan Yayasan Sabah dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam melaksanakan GLOPEC mampu membuka peluang pasaran industri global kepada usahawan tempatan Sabah.

Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, kerajaan sentiasa komited melaksanakan program ke arah meningkatkan kualiti produk IKS dan meneroka pasaran luar negeri secara digital.

Katanya, selain memenuhi aspirasi rakyat, usaha yang dilakukan kerajaan berdasarkan kepentingan sektor IKS dalam membantu melonjakkan ekonomi negeri untuk jangka panjang secara keseluruhan.

Menurutnya, GLOPEC mampu menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan untuk memperkasa usahawan IKS dalam meneroka pasaran global serta merentasi dunia yang tiada sempadan.

"Saya dimaklumkan, selepas GLOPEC dilancarkan pada 9 September 2021, usaha untuk menjayakan program ini giat dijalankan dengan kerjasama rakan strategik di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"GLOPEC kini berada di fasa mengeksport produk usahawan yang terlibat ke United Kingdom dan juga negara China. Malah, sampel produk usahawan turut dihantar ke China untuk pengenalan terhadap produk-produk usahawan GLOPEC.

"Bagaimanapun, kita masih berhadapan dengan cabaran akibat kemunculan varian baharu COVID-19 sekali gus memberi kesan terhadap proses mengeksport," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Menandatangani Surat Tawaran Bagi Usahawan GLOPEC Di Bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 15 usahawan IKS B40 dan M40 Sabah menandatangani surat tawaran untuk menyertai program GLOPEC.

Gulamhaidar berkata, kekangan pandemik COVID-19 tidak menghalang usaha kerajaan untuk mengambil langkah proaktif dalam mengusahakan program berkenaan.

Katanya, pelaksanaan strategi pemasaran terus giat dijalankan antaranya pameran 'Taste of Sabah' yang melibatkan aktiviti demonstrasi serta menguji produk makanan hasil usahawan GLOPEC yang sedang berlangsung di Kensington United Kingdom sejak Disember 2021 sehingga Mac 2022.

"Program GLOPEC juga berjaya mendapatkan pasaran baharu di Timur Tengah apabila satu sesi Menandatangani Surat Niat (LoI) antara GLOPEC dan juga Alfa Mart diadakan di Dubai pada 23 Disember 2021.

"Baru-baru ini pula, Kumpulan Yayasan Sabah turut menerima kunjungan hormat daripada Duta Sweden ke Malaysia Dr. Joachim Bergstrom di Galleria Artisan Menara Tun Mustapha pada 18 Januari 2022," jelasnya.

Beliau berkata, menerusi kunjungan berkenaan, pihak Kedutaan Sweden menyatakan hasrat untuk mengadakan jalinan kerjasama antara Sabah dengan Sweden dalam bidang reka bentuk batik.

Menurutnya, strategi pemasaran yang dilaksanakan melalui program GLOPEC membuka jalan lebih besar untuk usahawan GLOPEC memasarkan produk mereka lebih meluas.

Dalam pada itu, pihaknya komited usaha untuk mempercepatkan proses mengeksport barangan produk buatan Sabah dijangka berlangsung dalam masa terdekat apabila laluan eksport dibuka kepada para pedagang.

Katanya, sebanyak 16 produk dan 108 Unit Penyimpanan Stok (SKU) terdiri daripada 38 makanan dan minuman serta kosmetik dan juga 70 jenis kraftangan, mempunyai potensi untuk dipasarkan di luar negara terpilih.

Sehubungan itu, beliau berharap para usahawan GLOPEC memanfaatkan program berkenaan dengan sebaik mungkin dan tidak mensia-siakan peluang terbaik itu.

Antara kriteria serta terma dan syarat yang perlu dipenuhi untuk melayakkan usahawan menyertai GLOPEC termasuklah peserta perlu mempunyai syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai premis atau kilang, mempunyai satu atau lebih pensijilan (MeSTI, Halal, GMP, HACCP dan Certificate of Origin), serta Bumiputera Sabah.

Selain itu, bahan-bahan untuk menghasilkan produk perlu diambil daripada B40 Sabah agar golongan B40 turut tidak tertinggal dalam manfaat program berkenaan.

Kesemua usahawan GLOPEC memiliki kebolehupayaan menghasilkan produk-produk berkualiti iaitu memiliki potensi tinggi untuk melebarkan pemasaran produk di pasaran antarabangsa dan bukan hanya di peringkat tempatan.

Turut hadir, Ketua Program GLOPEC Zaition Bakri dan Pengarah Bersekutu TERAJU Sabah Mohd. Lan Muslim.


utusanborneo.com.my/2022/01/27
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 08:15 AM GMT+8 , Processed in 0.053555 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list