PETALING JAYA: Kerajaan akan memberi pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang pelaksanaan sekatan sementara selama sebulan bermula 8 Jan lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, bagaimanapun bayaran pampasan itu tidak dibayar secara penuh tetapi berharap dapat memberi kelegaan kepada jemaah tanah air.
“Alhamdulillah, mesyuarat Kabinet telah membuka semula (perjalanan) umat Islam di Malaysia untuk menunaikan umrah bermula 8 Feb ini.
“Juga sedikit pampasan daripada kerajaan buat jemaah yang terkesan baru-baru ini,” katanya di Facebook.
Idris berkata, pihaknya sedang menunggu senarai nama jemaah umrah yang layak mendapat pampasan itu dengan Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi agensi yang bertanggungjawab menyalurkan wang berkenaan.
Senarai nama akan diperoleh daripada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) untuk melihat senarai mereka yang terbabit. Wang ini akan masuk melalui pejabat TH dan semua (jemaah yang layak) boleh mengambil wang tersebut di pejabat TH berdekatan.
Kita akan umumkan sedikit masa lagi bila wang itu akan dimasukkan, katanya. Beliau turut berharap pembukaan semula perjalanan umrah mulai 8 Feb ini berjalan lancar dengan jemaah dan pihak agensi umrah mengikuti semua syarat ditetapkan kerajaan dan pihak Arab Saudi.
Saya tidak mahu dengar lagi unsur seperti berlaku penipuan vaksin dan akibatnya kita nampak kerana nila setitik habis susu sebelanga. Kita juga harap pihak pengendali umrah dapat memastikan jemaah mengikuti SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.
Apa sahaja syarat untuk terbang (menunaikan umrah) yang digariskan hendaklah dipatuhi untuk kebaikan bersama, katanya. Semalam, Jemaah Menteri memutuskan umat Islam dibenarkan mengerjakan umrah berkuat kuasa 8 Feb ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan penangguhan sementara perjalanan umrah bermula 8 Jan lalu berikutan penularan jangkitan varian Omicron.