PETALING JAYA: Kes dakwaan gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Lew masih dalam siasatan lanjut, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan.
“Ya masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi FMT ketika ditanya perkembangan terkini kes berkenaan.
Abd Jalil sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan melibatkan pendakwah berkenaan.
Beliau memaklumkan, kertas siasatan sudah dilengkapkan sebelum ini dan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.
Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 19 Ogos tahun lalu, Ebit Lew dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.
Bagaimanapun, Ebit Lew ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.