|
MIRI: Padah membantu menyembunyikan barang curi, dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 18 Januari lalu.
Edmond Chua Lee Ei, 23, dari Jalan Limbang, Marudi dan Yeo Keng Seng, 46, dari Medical Road di sini telah didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, sekitar jam 7.15 pagi, 10 Januari lalu, seorang pekerja mendapati manga pagar hadapan dan jeriji besi belakang stor tempatnya bekerja yang terletak di Jalan Maigold, Desa Senadin dirosakkan, dipercayai diceroboh masuk oleh orang tidak dikenali.
Pengadu yang kemudian membuat pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barang seperti 33 kotak minuman tin pelbagai perisa jenama Drinho dan sembilan kotak susu tepung kanak-kanak pelbagai perisa jenama Morinaga telah hilang.
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 5.50 petang, 18 Januari lalu di hadapan sebuah premis di Jalan Miri-Bintulu, sepasukan polis yang melakukan Ops Pintu berjaya menangkap seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
Tangkapan ke atas tertuduh pertama bernama Edmond telah membawa kepada penangkapan seorang lagi tertuduh iaitu Yeo pada jam 6.30 petang hari sama di hadapan sebuah premis di Emart Commercial Centre Jalan Airport di sini kerana disyaki terbabit sama dalam kes ini.
Berikutan tangkapan itu, polis telah merampas 33 kotak minuman perbagai perisa jenama Drinho dan sembilan kotak susu tepung kanak-kanak pelbagai perisa jenama Morinaga daripada tertuduh untuk dijadikan barang kes.
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
utusanborneo.com.my/2022/01/26
|
|