|
Seremban: Akademi khusus untuk kemahiran menebar roti canai akan diwujudkan di Negeri Sembilan, sekali gus dijangka menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai pusat latihan seumpama itu secara formal.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, berkata perkara itu bakal menjadi realiti dalam tempoh dua bulan lagi.
"Ia akan dilaksanakan melalui kerjasama Pejabat EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) dan Restoran Abang Terbang.
"Satu sesi perbincangan awal membabitkan semua pihak berkaitan sudah diadakan di Bangunan YNS, kelmarin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebagai perancangan awal bagi tujuan itu, Mohamad Taufek berkata, satu silibus khas akan dirangka untuk dimasukkan ke dalam senarai kursus jangka pendek yang boleh ditawarkan Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) kepada belia.
"Berdasarkan pengamatan saya, kerjaya dalam penyediaan roti canai menjanjikan pulangan lumayan. Gaji sebagai penebar roti canai juga boleh tahan.
"Kalau dilihat, mana-mana gerai atau kedai makan yang menawarkan menu berasaskan roti canai, lazimnya sering menjadi tumpuan pelanggan.
"Oleh itu, saya cuba mewujudkan sinergi antara Restoran Abang Terbang dengan YNS. Restoran Abang Terbang bukan saja kreatif dalam penghasilan roti canai, malah ada pendekatan tersendiri dalam aspek promosi dan publisiti produk mereka," katanya.
Beliau berkata, kejayaan Restoran Abang Terbang di pekan Kuala Pilah menjual antara 400 hingga 500 keping roti canai sehari pada hari bekerja dan antara 600 hingga 700 keping roti canai sehari pada hujung minggu, boleh dijadikan sumber inspirasi kepada golongan belia. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|