SIBU: Pintu Gerbang Sibu diwarnai dengan kira-kira 2,000 tanglung merah sempena menyambut ketibaan perayaan Tahun Baharu Cina.
Bazaar Tahun Baharu Cina 2022 berlangsung selama 11 hari di Pintu Gerbang Sibu bermula 20 hingga 30 Januari dari jam 9 pagi hingga 10 malam.
Bazaar anjuran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Startup Entrepreneur Association Sarawak dengan kerjasama Jawatankuasa Belia Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) dan Hab Inkubasi Usahawan PLUX.
Lebih 70 gerai untuk para usahawan pelbagai bidang mempromosikan produk dan barangan tahun baharu mereka.
Bagi memeriahkan suasana bazaar, beberapa influencer media sosial membantu mempromosikan bazaar dan produk usahawan di samping program hiburan dan kebudayaan.
Baazaar Tahun Baharu Cina kali terakhir dianjurkan pada tahun 2020 sebelum pandemik COVID-19. MPS juga merancang untuk menganjurkan bazaar yang sama untuk sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.
Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang menyempurnakan upacara menyalakan lampu tanglung malam Khamis.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, Pengerusi MPS Clarence Ting dan Pengerusi Startup Entrepreneur Association Sarawak Sean Hii.
utusanborneo.com.my/2022/01/21 |