CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 352|Reply: 1

[Borneo] Masih adakah sinar untuk perniagaan media?

[Copy link]
Post time 19-1-2022 02:35 PM | Show all posts |Read mode


Datuk Dr Chamil Wariya dikenali sebagai penulis buku yang prolifik, terutamanya dalam bidang media dan kewartawanan. Buku terbaharu beliau Bisnes Media & Prinsip Kewartawanan yang diterbitkan pada awal tahun ini menggembirakan peminat dan pengamal bidang kewartawanan. Buku terbitan Malaysian Press Institute (MPI) setebal  329 halaman ini memuatkan 42 artikel meliputi tujuh bidang utama.

Dr Chamil yang pernah bertugas sebagai wartawan dalam bidang persuratkhabaran, majalah, radio dan televisyen ini  mengupas bidang perniagaan dan keusahawanan media, industri persuratkhabaran,  penyiaran, media dan pilihan raya, Majlis Media Malaysia, kebebasan dan akauntabiliti media, dan media antarabangsa.

Buku berharga RM50 ini saya percaya, bukan sahaja sesuai dibaca oleh pengamal media di negara ini, tetapi juga pelajar yang mengikuti kursus kewartawanan, media dan komunikasi. Tulisan ini digarap dengan stail tersendiri, dengan gaya menarik apabila penulisnya mengadunkan pengalaman dan teori.

Bidang keusahawanan media memang jarang-jarang dibahaskan di negara ini. Seyogia diingatkan, meskipun prinsip kandungan editorial ialah raja, namun satu hakikat perlu diterima umum. Bahawa setiap organisasi media ialah satu perniagaan, justeru ia perlu diurus dengan profesional. Seperti syarikat-syarikat lain, kepemimpinan pengurusan yang berkesan penting bagi organisasi dan syarikat media.

Cabaran dan ujian yang dihadapi oleh syarikat media sama rumit seperti dialami oleh syarikat lain. Pengurusnya, tidak kira Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengurus Besar perlu memahami persekitaran media yang berubah dan mencabar, landskap politik, perkembangan teknologi, ekonomi, periklanan, pengedaran, pemasaran, dan pengurusan sumber manusia.

Pengurusan dan kepemimpinan yang berkesan penting untuk menjamin kelangsungan media, lebih-lebih lagi ketika media termasuk akhbar, radio dan televisyen kini berdepan ujian besar untuk mendapatkan jumlah khalayak dan pendapatan pengiklanan yang dapat menampung kos operasi.

Sehubungan dengan itu, dalam buku ini, penulis membincangkan lima corak perniagaan media, iaitu corak perniagaan unbundled, corak perniagaan ekor panjang, corak perniagaan berbilang segi, corak perniagaan percuma dan corak perniagaan terbuka. Setiap satu mempunyai kekuatan dan kelebihannya.  Corak perniagaan yang bagaimanakah yang paling sesuai dan relevan dalam keadaan sekarang?

Bagi penulis, corak perniagaan yang ingin dipilih oleh usahawan media hanya akan ditentukan oleh dua faktor utama model perniagaan itu sendiri. Pertama, pernyataan nilai yang hendak ditawarkan oleh pengusaha media berkenaan, dan kedua, segmen pelanggan yang disasarkan bagi pernyataan nilai itu sendiri.

Menurut Dr Chamil, setelah para pengusaha media itu jelas dalam perancangan perniagaannya mengenai segmen pelanggan dan pernyataan nilainya, maka barulah mereka boleh menyesuaikan perniagaan masing-masing dengan corak yang telah dibincangkan bagi menjanakan pendapatan dengan tujuan akhirnya untuk mengaut keuntungan.

Kisah jatuh bangun Kumpulan Media Karangkraf yang turut dibincangkan dalam buku ini tentu menarik untuk dijadikan panduan. Ketika zaman puncaknya, syarikat milik taikun media Datuk Hussamuddin Yaacob itu dikatakan mencatatkan jualan tahunan RM500 juta dengan jumlah kakitangan sebanyak 1,500 orang.

Beliau dikatakan bijak memanfaatkan peluang perniagaan baharu yang tidak diisi oleh perniagaan media lain pada akhir 1970-an dan awal 1980-an.  Syarikat itu pernah menerbitkan lebih daripada 30 majalah pada zaman puncak, dan kini turut menerbitkan Sinar Harian. Syarikat itu turut terjejas oleh gangguan digital pada 2013.

Namun,  Kumpulan Media Karangkraf  berjaya mengharungi gangguan digital sehingga mencatatkan semula keuntungan. Kejayaan itu tentu dapat menjadi pengajaran  kepada usahawan media lain bahawa  dengan model perniagaan, strategi dan perniagaan betul, segala badai cabaran dalam dunia media dapat ditangani.

Menurut Dr Chamil, para usahawan juga mesti sensitif dengan perubahan teknologi digital era Internet dalam dunia penerbitan itu sendiri yang tentunya dapat dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan media di alam maya ke alam nyata.

Kegagalan berbuat demikian, hujah beliau, akan menyebabkan perniagaan media terganggu dan berkemungkinan besar perniagaan media mereka terpaksa gulung tikar, seperti dialami oleh sebilangan organisasi media di negara ini dan juga di negara lain.

Kita telah mendengar bagaimana begitu banyak syarikat media di dalam dan di luar negara terpaksa mengambil jalan drastik dengan menghentikan operasi kerana tidak lagi dapat menanggung kerugian besar.

Untuk mengetahui masalah dan cabaran yang dihadapi oleh industri persuratkhabaran, pembaca tentu dapat meneliti empat bab di bawah tajuk “Industri Persuratkhabaran” dalam buku ini. Betulkah industri persuratkhabaran bagai nazak menunggu mati? Bagaimanakah cara untuk memastikan akhbar tidak menemui ajal?

Persoalannya, mengapakah ada akhbar yang terpaksa ditutup? Adakah benar gara-gara tikus membaiki labu? Yang turut dibincangkan ialah kewujudan semula akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo setelah ditutup dan tidak beroperasi untuk beberapa waktu.

Tidak lengkap jika media tidak dikaitkan dengan akauntabiliti dan kebebasan. Untuk itu, penulis turut memuatkan 11 artikel di bawah tajuk “Akauntabiliti, Kebebasan dan Pembingkaian”.

Apakah akauntabiliti dan kebebasan? Bagaimanakah kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa dari segi indeks kebebasan media? Apakah faktor yang menyebabkan akhbar Malaysia dikatakan tidak bebas?  Faktor kawalan dan pemilikan media antara faktor penyumbang yang dikupas oleh penulis ini.

Media turut memainkan peranan penting dalam setiap pilihanraya. Adakah media di negara ini seimbang dan objektif dari segi laporannya berkaitan pilihan raya membabitkan parti pemerintah dan pembangkang?

Bagaimanakah keadaan media di negara ini selepas PRU-14? Adakah benar-benar bebas seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifestonya? Bagaimana pula dengan corak laporan RTM yang dimiliki kerajaan?

Pada analisis terakhir, tulisan dalam buku ini cukup analitis, malah kadang-kadang pedas.  Pengalaman meluas penulisnya dibantu dengan kelayakan akademik yang tinggi, memungkinkan beliau mengupas isu dengan baik. Gaya penulisan yang bersahaja memungkinkan pembaca mengikuti tulisannya dengan mudah.

Media bukan saja diperkatakan dalam konteks komunikasi dan kewartawanan, tetapi juga keusahawanan, ekonomi, politik, sosial, teknologi dan konsep jurnalistik dan ucapan.

Terdapat banyak kearifan dan mutiara ilmu dan pengalaman dalam buku ini.  Itulah sebabnya, buku ini penting dibaca oleh setiap pengamal media dan penuntut media dan komunikasi.


sarawakvoice.com/2022/01/19
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-1-2022 05:27 PM | Show all posts
tak kisah corak perniagaan macam mana
asalkan customer servis ok
reply pun cepat

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 08:04 AM GMT+8 , Processed in 0.344014 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list