|
Seorang wanita di Kecamatan Tenayan Raya, wilayah Riau menimbulkan kekecohan apabila bertindak memanjat sebuah menara pencawang elektrik, lapor portal berita Suara.com, semalam.
Wanita dikenali sebagai Yulidar,45, itu dikatakan mengalami tekanan perasaan dan sudah tiga kali memanjat menara pencawang setinggi 40 meter itu.
Ketua Polis Tenayan Raya, Komisioner Manapar Situmeang melawat lokasi kejadian dan mengetuai operasi menyelamatkan Yulidar dengan bantuan pasukan Bomba dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS).
Kredit foto: Antara
“Pihak BASARNAS menggunakan kata-kata pujukan seperti ‘sayang’ untuk memujuk mangsa turun tanpa sebarang paksaan.
“Menurut penduduk kampung, wanita itu kerap melakukan aksi seperti itu jika mengalami tekanan perasaan. Mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata Manapar.
Sementara itu, Ketua Mukim Kulim, Rahmad Handayani meminta pihak pengurusan pencawang segera membuat kawalan keselamatan di sekitar kawasan itu.
“Lebih baik pasang alat keselamatan kerana ini kawasan perumahan. Jangan dibiarkan terbuka tanpa sebarang jaringan keselamatan.
“Guna kawat berduri atau apa sahaja, yang penting selamat untuk orang sekeliling. Harap-harap tiada lagi kejadian seperti ini,” jelas Rahmad.
Sumber: Kosmo |
|