LONDON – Seekor kura-kura dari St. Helena, sebuah wilayah seberang laut British di Lautan Atlantik, dinamakan sebagai kura-kura paling tua di dunia oleh Guinness World Records kerana dipercayai berusia 190 tahun, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Kura-kura bernama Jonathan itu menerima pengiktirafan kedua tersebut selepas pernah dinamakan sebagai haiwan darat tertua di dunia oleh Guinness World Records sebelum ini.
Ia menjadi matang sepenuhnya, iaitu sekurang-kurangnya 50 tahun ketika tiba di St. Helena pada 1882.
Menurut kerajaan St. Helena, Jonathan adalah seekor kura-kura yang buta dan telah kehilangan deria bau, namun ia berupaya untuk makan dengan baik apabila disuap oleh pasukan veterinar menggunakan tangan.
“Jonathan masih aktif dan sering menghabiskan masa bersama beberapa ekor kura-kura gergasi yang lain seperti David, Emma dan Fred.
“Meskipun telah mencapai usia hampir 200 tahun, ia masih mempunyai keinginan seksual yang normal kerana sering mengawan bersama Emma dan Fred,” kata seorang doktor haiwan, Joe Hollins.
Rekod sebelum ini dipegang oleh seekor kura-kura bernama Tu’i Malila, yang mati pada usia kira-kira 188 tahun pada tahun 1965. – AGENSI
Gambar Jonathan dan penjaganya ketiak ia pertama kali sampai di Pulau Saint Helena pada tahun 1882
Gambar Jonathan diabadikan pada wang syiling 5 pence Saint Helena
- KOSMO!
- 14 Januari 2022, 10:00 pm
|