|
KUALA LUMPUR: Polis menyiasat poster tular di media sosial mendakwa akan diadakan perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap dan SPRM dirombak di ibu negara, pada Sabtu depan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan berkenaan.
"Saya pun baru terima maklumat mengenai perkara itu. Siasatan giat dilakukan. Saya belum dapat memberi pengesahan pihak yang menularkan poster itu dan sama ada perhimpunan itu akan diadakan atau sebaliknya," katanya kepada BH, hari ini.
Aktivis sosial, Adam Adli Abd Halim antara yang memuatnaik poster itu di Twitter dengan hashtag (tanda pagar) #TangkapAzamBaki.
Sebelum ini, Azam dalam satu sidang media menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular, sejak akhir-akhir ini.
Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga, selain tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2022/01/911499/polis-siasat-himpunan-berkaitan-azam-baki
|
|