Keadaan di Kampung Jemoreng selepas jalan raya dinaiki air.
MUKAH: Penduduk Matu dinasihatkan untuk membuat persiapan bagi menghadapi situasi banjir, tegas Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu Lt (PA) Jumaat Akasas.
Beliau berkata, melalui pemantauan banjir yang dilakukan mendapati paras air di Kampung Jemoreng, Matu telah melimpah ke jalan raya kampung berkenaan sekitar 8.34 pagi ini.
"Hasil tinjauan mendapati air dari hulu Kampung Jemoreng telah melimpah ke kawasan kampung berikutan hujan pada 2.30 pagi (Khamis)," katanya kepada Utusan Borneo.
Jumaat memberitahu, tinjauan awal pada dinihari menunjukkan tiada limpahan air namun limpahan air berlaku semasa tinjauan berikutnya yang dilakukan pada 8.34 pagi.
Jelasnya, ketinggian air yang melimpah di atas jalan raya adalah pada bacaan 0.19 meter namun keadaan masih terkawal.
Berikutan itu, beliau berkata, kampung berhampiran dengan Kampung Jemoreng seperti Kampung Sekaan Besar dan Kampung Bertong akan dinaiki air pada bila masa sahaja jika hujan turun berterusan.
Selain itu, Jumaat turut memohon supaya semua penduduk di Matu untuk membuat persediaan awal bagi menghadapi situasi yang tidak diingini berlaku terutamanya menjelang waktu malam.
Beliau juga berpesan supaya harta benda diletakkan di tempat atau kawasan yang tinggi.
Justeru, katanya lagi, APM Matu akan sentiasa membuat pemantauan dan memberi makluman kepada penduduk terutamanya kepada penghuni-penghuni rumah yang sering kali dinaiki air di kawasan tersebut.
utusanborneo.com.my/2022/01/13 |