LAPORAN Metro Ahad, 9 Januari lalu.
Tidak tahan kebuluran dan terdesak mencari makanan. Itu antara faktor dikenal pasti menjadi punca serangan seekor harimau belang jantan yang membunuh lelaki Orang Asli di Gua Musang, Kelantan, Jumaat lalu.
Difahamkan kepupusan mendadak haiwan liar seperti rusa dan babi hutan di sekitar kawasan Hutan Gua Musang menjadi punya harimau belang menceroboh masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mamalia pemangsa itu dalam keadaan kelaparan.
Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan harimau menyerang manusia antaranya cedera, mempunyai anak kecil atau usia tua menyebabkan haiwan itu tidak mampu mencari makanan.
"Namun Perhilitan mengandaikan terdapat faktor utama lain menyumbang kepada masalah ini iaitu sumber makanan semula jadi harimau yang merosot.
"Melalui kaedah pemasangan perangkap kamera di dalam hutan sekitar Pos Bihai, Gua Musang, sebelum ini, kami mendapati haiwan mangsa seperti kijang, rusa dan babi hutan sukar dikesan.
"Ada kemungkinan bilangannya merosot teruk kesan aktiviti pemburuan dan menjerat selain penerokaan hutan yang menyebabkan habitat semula jadi haiwan mangsa ini terganggu," katanya.
Kadir berkata, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan segelintir harimau belang di Pos Bihai itu dijangkiti penyakit Canine Distemper Virus (CDV) yang menyebabkan binatang itu mempunyai perilaku tidak lagi takutkan manusia.
|