CANTIK DAN PELBAGAI… Sunita Andrew menunjukkan hasil sulaman tangan bercorak
ukiran tradisional yang dihasilkannya untuk dibeli oleh pelanggan.
KUCHING: ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ merupakan peribahasa yang mencerminkan keperibadian seorang anak Sarawak yang mencari rezeki menerusi jualan produk berasaskan sulaman di Semenanjung Malaysia. Sunita Andrew Lunti atau mesra disapa Su, 35 berkata, beliau tidak pernah menghadiri kursus atau kelas khas berkaitan sulaman dan melakukannya berdasarkan kreativiti dan minat yang mendalam dalam bidang tersebut.
“Saya mula mendapat inspirasi setelah melihat pelbagai perkongsian menerusi media sosial Facebook dan saya usahakan untuk mencari idea bagi setiap ukiran sulaman tersebut.
“Antara produk berasaskan jahitan sulaman yang saya hasilkan dan jual ialah ‘selampai’ lelaki dan wanita, termasuk buat kanak-kanak, hiasan dinding dan sarung bantal sofa dan semua ini dihasilkan menerusi sulaman tangan,” jelasnya.
Su yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan ibu kepada seorang anak lapan tahun memberitahu, beliau sentiasa mendapat sokongan padu daripada suami, ahli keluarga dan rakan-rakan untuk terus menghasilkan produk sulaman tersebut.
“Setakat ini, saya bersyukur kerana saya mendapat tempahan yang memberangsangkan dari para pembeli.
“Semua produk yang dihasilkan adalah idea asal saya sendiri dan saya membuat sulaman yang ditempah berdasarkan permintaan para pelanggan.
“Saya mengusahakan perniagaan ini bermula dari rumah dan kini masih bekerja dari rumah sejak dari tahun 2019 dan saya sentiasa berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain,” tambahnya.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, anak jati Iban yang berasal dari Bintangor tersebut menzahirkan harapan untuk memiliki galeri serta kedai perniagaan sulaman miliknya sendiri suatu hari kelak.
January 11, 2022
Utusan Sarawak
|