TERBABAS: Kereta mangsa rosak teruk selepas terbabas ke dalam parit.
TAWAU: Dua lelaki mengalami kecederaan selepas kereta yang mereka naiki terbabas masuk ke dalam parit di Jalan Chong Thien Vun, di sini awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.15 pagi.
Katanya, mangsa memandu kereta dari Kubota Square menghala ke Taman Semarak sebelum kereta mereka terbabas sendiri.
“Pemandu terbabit dilaporkan hilang kawalan menyebabkan kereta mereka terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan raya.
“Dalam kejadian itu, pemandu dan penumpang kereta berkenaan mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala kereta mereka rosak keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Peter berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca dari kecuaian pemandu kereta terbabit yang hilang kawalan dipercayai dipandu laju.
“Pemandu tidak disyaki mabuk, namun sampel darah pemandu telah diambil untuk analisa kandungan alkohol.
“Polis masih menyiasat kejadian itu dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/11 |