|
Membentangkan isu dengki sesama artis kepada selebriti serba boleh, Didie Alias, dia cukup memahami situasi yang mungkin dialami oleh sesetengah artis yang terpalit dengan kejadian seperti ini.
Tidak menolak bahawa dirinya juga pernah berdepan dengan angkara dengki khianat orang, kata Didie, usah terkejut jika individu yang cuba menjatuhkan itu sebenarnya orang yang paling dekat dengan diri mereka.
Foto: IG
“Tentulah saya sendiri pernah terkena. Yang buat itu pun adalah orang yang dekat dengan saya. Tapi, saya ini jenis yang tak akan dengar sebelah pihak sahaja dan tak pernah rasa takut kalau memang diri tak bersalah.
“Saya orang yang jenis akan terus berjumpa atau berdepan dengan individu tersebut, kalau dapat tahulah yang memang ternyata orang itu menikam kita dari belakang. Tapi, biasanya, orang yang buat begitu, dia tak akan mengaku.
“Ibaratnya, depan kita, pijak semut pun tak mati. Adakala saya pelik juga, kenapa sifat sebegini berlaku pada orang kita. Seakan sebati. Bila jumpa depan-depan macam tak ada apa-apa pula,”katanya.
Selain itu, kata pelakon berusia 49 tahun ini, dia bersetuju dengan pandangan bahawa seharusnya rakan artis dan selebriti bersifat muafakat dan saling mendukung antara satu sama lain dan bukannya ‘memakmurkan diri’ dengan sifat dengki khianat.
“Patutnya, bila tengok kawan kita bertambah murah rezeki, bertambah maju, kita mendoakan. Ini, kita pula menjatuhkan. Ini sifat yang tak bagus. Dunia ini bulat, esok-esok Tuhan balas pula pada kita.
“Jangan sentiasa rasa diri itu hebat dan berada di atas. Kena ingat asal usul diri. Ini tengok orang lebih sikit, mulalah diri tak senang duduk. Patutnya tuntutlah ilmu atau tips berjaya daripada dia. Belajarlah tingkatkan dan majukan diri.
“Ini tidak, nak buat kerja senang, apikan orang dan tikam belakang. Sampai bilalah industri nak maju kalau masih ada orang seperti ini. Dah masuk tahun 2022 ini. Macam mana nak capai standard Hollywood? katanya.
Dalam pada itu, kata Didie, dia menganggap dirinya seorang yang sentiasa mengamalkan profesionalisme yang tinggi dalam kerjaya seni dan sifat dengki bukanlah amalan hidupnya.
“Kalau ada orang tak suka saya kerana saya ini boleh buat macam-macam benda, disarankan agar dia melihat dan cermin semula hatinya. Kalau nak buat macam saya, tapi keyakinan tak ada dan tak sesuai, ia tak akan menjadi.
“Sebab, anda hanya akan memalsukan diri sendiri depan masyarakat. Saya boleh buat semua benda yang dilakukan sekarang baik berlakon, mengacara, menyanyi atau apa sahaja, itu kerana memang saya memiliki keyakinan,”selorohnya. -CARI
Sumber: Utusan Online
|
|