Lee (depan, empat kanan), Sebastian (depan, tiga kanan) serta Adam (depan, dua kiri) dan yang lain, semasa berdoa bersama-sama di Kuil Tua Pek Kong, Miri.
MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak akan mengkaji keperluan untuk syarikat penerbangan mengadakan penerbangan tambahan sempena perayaan Tahun Baru Cina (TBC) yang disambut pada 1 Februari ini, bagi membolehkan rakyat Sarawak pulang meraikannya.
Dato' Sri Lee Kim Shin memberitahu pemberita mengenai perkara itu, selepas menghadiri upacara sembahyang di Kuil Tua Pek Kong Miri di sini, hari ini.
“Kita difahamkan menjelang perayaan Tahun Baru Cina, jumlah penerbangan dari Semenanjung Malaysia akan menjadi sangat terhad berikutan permintaan yang tinggi dengan kadar tambang yang turut meningkat.
“Oleh itu, kementerian saya akan berunding dengan syarikat penerbangan mengenai cadangan untuk menambah lebih banyak penerbangan dan pada masa yang sama, mungkin mengawal harga (tiket) agar tidak terlalu membebankan rakyat Sarawak yang ingin pulang ke kampung halaman untuk perayaan itu kelak,” katanya.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP), berikutan ancaman Omicron, Lee berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan mengumumkan SOP secara terperinci tidak lama lagi.
“Adalah penting bagi kita agar terus berwaspada terhadap bahaya COVID-19 dan variannya kepada masyarakat.
"Walaupun jumlah kes positif telah menurun, kita tidak boleh mengambil mudah. Oleh itu, setiap orang mesti mematuhi SOP dengan tegas untuk memastikan mereka melindungi diri mereka dan orang tersayang daripada virus itu,” ujar Lee lagi.
Turut menyertai Lee di Kuil Tua Pek Kong tersebut ialah Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting dan ADUN Pujut yang juga Datuk Bandar Adam Yii, di samping pengerusi jawatankuasa Kuil Tua Pek Kong Tay Choon Wei, Temenggong Yong Vui Seng serta ahli Lembaga Amanah Kebajikan Cina Miri.
utusanborneo.com.my/2022/01/08 |