SIBU: Orang awam di sini gempar selepas menemui mayat seorang lelaki yang sudah mula kembung dan membusuk di tepi longkang Jalan Wong King Huo, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supritendan Dr Collin Babat dalam satu kenyataannya sebentar tadi mengesahkan penemuan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan tersebut pada jam 10.50 pagi oleh seorang pengguna jalan raya.
“Pihak kami telah menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan menjumpai satu mayat yang telah busuk di tepi longkang berdekatan dengan Medan Mall, Jalan Wong King Huo,” ujar beliau yang tidak mendedahkan identiti si mati.
Collin memberitahu, sepasukan polis bergegas ke tempat penemuan itu dan hasil pemeriksaan ke atas mayat mendapati si mati dalam keadaan terlungkup di tepi longkang yang berseluar panjang celoreng hijau dan coklat tanpa baju.
Tambahnya lagi, mayat si mati telah mula membusuk dan berulat.
“Mayat si mati telah dibawa ke tebing longkang dan pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan luka pada bahagian kepala sebelah kanannya.
“Mayat telah dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan disimpan sementara di dalam bilik mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” ujarnya sambil memberitahu punca kematian si mati belum diketahui sehingga siasatan lanjut dijalankan.
Hasil siasatan awal pihak polis, katanya, tiada unsur-unsur jenayah dan khianat semasa pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian.
Buat masa ini kes tersebut, tambahnya lagi, diklafikasikan sebagai mati mengejut sehingga bedah siasat selesai dijalankan.
by suaraswk
January 7, 2022 |