Edited by Vellfire at 7-1-2022 10:00 AM
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/petronascarigali_1641527947.jpg)
KUALA LUMPUR: PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), anak syarikat PETRONAS membuat penemuan gas di telaga penerokaan 'wildcat' Hadrah-1 dekat Blok SK411, terletak di perairan cetek daerah Balingian, kira-kira 170 kilometer dari barat laut luar pesisir Sarawak.
Telaga Hadrah-1 berjaya digali sehingga kedalaman 1,850 meter pada November 2021 dan menemui gas dalam turutan batu pasir berkualiti tinggi dan takungan karbonat setebal kira-kira 200 meter.
PCSB adalah operator blok berkenaan, dengan 90 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).
Baki 10 peratus lagi dipegang oleh E&P Malaysia Venture Sdn Bhd.
Naib Presiden Penerokaan dan Huluan PETRONAS, Emeliana Rice-Oxley, berkata penemuan gas di telaga penerokaan 'wildcat' Hadrah-1 oleh PCSB terus membuktikan prospek memberangsangkan Kitaran I, II & III yang masih belum diteroka sepenuhnya di daerah Balingian.
"Kualiti cemerlang takungan yang ditemui memberikan harapan terhadap potensi baki di kawasan sekelilingya, dengan PCSB berada dalam kedudukan yang baik untuk meneroskan penerokaan yang sama di Blok SK411 dan SK306.
"Kami tidak sabar untuk menghantar lebih banyak gas asli, iaitu bahan api fosil paling bersih, selamat dan boleh dipercayai kepada pasaran," katanya.
Hadrah-1 adalah penemuan gas ketiga PETRONAS di daerah itu pada 2021, selepas Sirung-1 dan Kulintang-1 masing-masing pada Mac dan Mei lalu.
Pada 2019, minyak dan gas turut ditemui dalam kawasan penerokaan sama di lapangan D18.
bharian.com.my Januari 7, 2022 @ 11:59am |