PADAH: Jamal diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.
TAWAU: Mahkamah Tinggi, di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyeludup tujuh pendatang tanpa izin (PTI).
Tertuduh Jamal Lukman, 42, didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Ogos 2021 pada jam 9.30 pagi di Jalan Sapulut-Kalabakan, dalam daerah Kalabakan.
Berdasarkan pertuduhan, Jamal didakwa menyeludup warga asing berkenaan berumur 24 hingga 46 tahun serta dua kanak-kanak, menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Sehubungan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670). Kesalahan itu memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Dr Lim Hock Leng berkata, walaupun pertama kali melakukan kesalahan, namun, kesalahan tertuduh adalah berat kerana menyeludup tujuh orang PTI dengan mengenakan caj bayaran bagi tujuan mengaut keuntungan.
Menurutnya, dua daripada PTI yang diseludup juga didapati positif COVID-19 ketika ditahan.
Mengambil kira faktor kepentingan dan kesihatan awam ekoran pandemik COVID-19, Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun bermula dari tarikh tertuduh ditahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Mohamad Arif Aizuddin Masrom, manakala tertuduh diwakili Peguam Raymond Guok.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan Saparuddin Sakka, 36, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku salah membawa lima PTI berusia 18 hingga 38 tahun di Jalan Silam, Lahad Datu, tahun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.40 malam, 1 September 2021 menggunakan sebuah lori bagi tujuan berkenaan.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Kesalahan itu memperuntukan hukuman tidak lebih lima tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
utusanborneo.com.my/2022/01/07 |