The Grand Old Lady.
MIRI: The Grand Old Lady, terletak di Bukit Kanada di sini yang merupakan bekas tapak penggalian minyak pertama di negara ini diharap dapat diangkat sebagai sebuah Geopark satu masa kelak demi kepentingan generasi masa depan.
Menteri Muda Pelancongan, Datuk Sebastian Ting berkata lokasi ini sesuai bagi pelajar jurusan kejuruteraan petroleum atau berkaitan minyak dan gas untuk belajar mengenai formasi batuan dan bentuk muka bumi di sini.
"Ini merupakan lokasi yang sangat penting dan kita perlu menjadikan ia sebagai tempat untuk para pelajar datang dan belajar serta menjalankan kajian bagaimana minyak dan gas bermula di Miri.
"Selain itu, mengenai Muzium Petroleum, tempoh hari kami ada mengadakan perbincangan untuk bagaimana kita boleh menambah baiknya agar pelawat dapat datang dan berkunjung ke sini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan meninjau kemajuan projek pembinaan tandas awam di The Grand Old Lady di sini hari ini.
Projek bernilai RM200,000 menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2021 Sebastian ini dijangka siap sepenuhnya pada 15 Januari depan.
"Saya sangat berpuas hati dengan kemajuan projek ini yang sekarang dianggarkan 95 peratus siap dan hanya tinggal untuk mencantikkannya sedikit sebelum dibuka kepada orang awam dijangka 15 Januari ini.
"Apabila siap kelak, tandas awam ini memberi kemudahan kepada orang awam yang melakukan aktiviti 'hiking' di sini dan tandas awam ini juga dilengkapi ruangan untuk mandi.
"Selain itu, yang penting juga tandas awam ini mesra Orang Kurang Upaya (OKU) kerana ada tandas khas untuk OKU dan juga laluan untuk mereka yang menggunakan kerusi roda," ujarnya.
Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut menekankan bahawa adalah penting untuk semua kemudahan awam sekarang perlu mesra OKU.
utusanborneo.com.my/2022/01/07 |