Tertuduh (hadapan) di lobi Mahkamah Kuching sambil ditemani isteri (kiri, belakang) dan peguam Wit (belakang, kanan).
KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan terhadap seorang lelaki tukang kayu yang didapati bersalah merogol anak saudara perempuannya yang berusia 12 tahun, pada 2018.
Hakim Jason Juga turut menetapkan hukuman penjara bagi tertuduh yang berusia 48 tahun itu untuk dikuatkuasakan hari ini.
Terdahulu pada 21 Julai 2021, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan selepas perbicaraan penuh, susulan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak buahnya iaitu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada hari kejadian, di rumah mangsa terletak di sebuah kampung di Bau, pada Februari 2018.
Menurut laporan terdahulu, ibu mangsa membuat laporan polis susulan terdengar perbualan anak perempuannya yang berusia 13 tahun dan mangsa, berhubung tertuduh dikatakan telah melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa.
Difahamkan, tertuduh telah melakukan perbuatan tersebut berulang kali namun mangsa tidak berani untuk memberitahu ibunya kerana tertuduh dikatakan telah mengugutnya.
Tertuduh seterusnya dilaporkan ditangkap pada sekitar jam 12.45 tengah hari, 5 November 2018 di kediamannya, juga di kampung sama.
Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh menerusi peguamnya Wit Malang merayu agar tidak dikenakan hukuman berat atas alasan tertuduh mempunyai sakit jantung dan penyakit tibi seperti yang ditunjukkan dalam dokumen perubatan.
Tertuduh katanya, memerlukan rawatan perubatan terutamanya untuk sakit serangan jantung, selain mempunyai isteri dan ahli keluarga untuk ditanggung kerana tertuduh merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarganya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan bagaimanapun memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira faktor bahawa tertuduh didapati bersalah selepas perbicaraan penuh dan kes ini telah menelan kos serta masa.
Selain itu menurutnya, mahkamah perlu ngambil kira faktor jarak usia tertuduh dan mangsa, kesan trauma dialami mangsa, kepentingan awam, kekerapan kes sedemikian, keseriusan kesalahan yang dilakukan serta hukuman berat yang dijatuhkan boleh memberikan pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan serupa.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan, selain memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOACA) dan menjalani pengawasan polis tidak kurang daripada setahun selepas menjalani hukuman.
Dalam pada itu juga, Wit memohon agar mahkamah menangguhkan hukuman penjara ke atas anak guamnya sementara menunggu rayuan difailkan.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan tertuduh diberikan jaminan tunai RM20,000 berserta dua penjamin tempatan mempunyai pekerjaan dan alamat tetap.
utusanborneo.com.my/2022/01/03 |