Lo (tengah) menyaksikan Pembantu Awam MPP, Cyril Nicolson (kanan) kepada wakil kontraktor di sini, hari ini.
KUCHING: Hampir 2,000 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arang di sini bakal menerima manfaat sebaik sahaja projek bumbung laluan pejalan kaki dijangka siap pada April 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, pembinaan projek yang menelan kos RM50,000 itu bermula pada 3 Januari depan.
“Projek akan bermula pada 3 Januari dan ia mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan iaitu pada 2 April 2022.
“Ini merupakan satu lagi projek yang kita teruskan dengan projek bumbung pejalan kaki ini pelajar kita tidak terkena panas atau hujan sementara menunggu atau naik kereta ibu bapa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menyaksikan penyerahan projek pembinaan bumbung pejalan kaki SMK Arang daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kepada Hazimie Enterprise selaku kontraktor projek di sini, hari ini.
Lo yang juga pengerusi MPP berharap projek berkenaan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau berkata projek di SMK Arang itu merupakan yang ketiga seumpamanya daripada beliau menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Sebelum ini projek yang sama juga dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Batu 4 1/2 dan SK Arang.
“Kita komited meneruskan projek bermakna seperti ini yang memberi manfaat kepada ramai orang.
“Banyak lagi projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti ini akan diteruskan dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.
Sementara itu Pengetua SMK Arang Lau Yok Huck berkata beliau berterima kasih kepada Lo kerana melaksanakan projek terbabit.
Katanya, sekolah berkenaan mempunyai 1,688 pelajar setakat ini.
“Cadangan ini dikemukakan menerusi PIBG pada tahun lepas dan ia pastinya memberi manfaat kepada pelajar kami,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/31 |