Edited by tari at 31-12-2021 03:09 PM
AMARAN bendera merah berikutan ombak kuat di Pantai Air Papan, Mersing. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Mersing: Orang ramai yang ke pesisiran pantai di daerah ini terutama Pantai Air Papan di sini, dinasihatkan tidak menghampiri kawasan pantai berikutan keadaan ombak yang besar.
Tinjauan di Pantai Air Papan hari ini mendapati masih terdapat pengunjung yang memberanikan diri menghampiri gigi air walaupun dalam keadaan ombak yang besar.
Penyelamat pantai dari Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilihat turut memantau pengunjung dan menasihatkan mereka tidak berada terlalu hampir dengan pesisir pantai bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.
Bendera merah turut dikibarkan di sepanjang pantai sebagai peringatan pengunjung tidak dibenarkan untuk mandi di pantai.
Penyelamat pantai APM, Norhizam Sidek berkata, keadaan ombak di Pantai Air Papan mencecah ketinggian lebih tiga meter dan sangat berbahaya kepada orang ramai.
Menurutnya, pada musim biasa ombak di Pantai Air Papan hanyalah setinggi kurang 0.5 meter atau hampir tiada ombak.
"Tiga penyelamat pantai bertugas pada setiap giliran tugasan bermula 8 pagi hingga 7 malam setiap hari bagi memastikan pengunjung tidak mandi atau menghampiri pesisir pantai berikutan ombak besar.
"Kami turut diarahkan meningkatkan pengawasan di pesisiran pantai pada musim tengkujuh kali ini apatah lagi sekarang masih cuti sekolah dengan ramai pengunjung datang ke sini.
"Kami menasihatkan pengunjung yang datang tidak melepasi garisan bendera merah yang dipasang bagi mengelak sebarang kemungkinan," katanya.
Sementara itu, pengunjung pantai itu, Fatiana Mohamad, 43, berkata, dia membawa keluarganya seramai sembilan orang bersantai di Pantai Air Papan sempena cuti sekolah.
"Anak-anak memang hendak mandi namun saya tidak benarkan berikutan ombak kuat dan bendera merah dipasang sebagai tanda amaran.
"Kami hanya bersantai serta berkelah di tepi pantai untuk bermain layang-layang dan tidak berani pergi ke kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
Disiarkan pada: Disember 31, 2021 @ 1:14pm
|