Katil dan tilam umpama ‘pisang goreng panas’ apabila permintaan terhadapnya tinggi dalam kalangan mangsa banjir di sekitar bandar raya ini dan Klang sehingga ada sesetengah kedai telah kehabisan stok.
Situasi itu mengakibatkan para peniaga terpaksa membuat tempahan dari negeri lain dengan tempoh penghantarannya mencecah dalam dua minggu.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Padang Jawa dan Seksyen 7 di sini antara barangan lain turut habis dijual adalah tikar getah, kabinet dapur, rak pinggan mangkuk dan rak baju selain penduduk terus mencari katil dan tilam.
Fatin menunjukkan stok tilam yang mula kehabisan stok di kedai perabotnya.
Pembantu Kedai Perabot Nabilah, Fatin Nadihah Shamsol, 28, berkata pihaknya menerima hampir 300 orang pelanggan setiap hari sejak Isnin minggu lalu.
“Mereka terdiri daripada mangsa banjir terjejas teruk dan mahu membeli katil serta tilam yang dianggap keperluan utama ketika ini.
“Setakat ini, semua barangan itu sudah habis dijual dan syarikat kami perlu menunggu stok tempahan baharu daripada kilang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, set katil dan tilam itu dijual pihaknya dengan harga RM250 ke atas termasuk diskaun khas hanya untuk mangsa banjir termasuk dari Klang.
Sumber: K!ONLINE |