Pengacara Ahmad Fedtri Yahya meminta orang ramai berhati-hati dengan sebarang tawaran perubatan alternatif yang menggunakan fotonya sebagai bahan promosi di media sosial.
Menurut Fedtri, 40, foto yang digunakan oleh beberapa peniaga atas talian itu diambil daripada babak lakonan semula program Khurafat yang pernah disiarkan di TV9 pada tahun 2008.
Foto: IG
"Ceritanya semasa penggambaran program itu kita ada la buat lakonan semula tentang bomoh-bomoh dan sebagainya, jadi mereka ini guna paparan itu untuk mempromosikan perkhidmatan mereka.
"Sebenarnya dah lama saya perasan tentang benda ni, setiap tahun mereka guna foto saya dalam program itu. Tahun sebelum ni mereka guna untuk promosi minyak lintah, lepas itu perubatan untuk kebatinan la... ada juga fasal jin dan khadam.
"Tapi tahun ini muncul khidmat scan kecurangan pasangan pula. Memandangkan gambar itu ada dalam internet, jadi ianya memang akan sentiasa berputar," katanya kepada mStar.
Dulu Rawatan Batin, Sekarang Gambar Fedtri Yahya Jadi Bahan Promosi ‘Scan’ Pasangan Curang!
Fedtri ditemui semasa sidang media program Aduan Jiwa yang diadakan secara maya pada Selasa.
Aduan Jiwa merupakan program bual bicara terbaharu kendalian Fedtri Yahya bakal bersiaran setiap Ahad pukul 8.30 malam di TV9 bermula 2 Januari depan.
Sebelum itu menerusi Twitter, Fedtri berkongsi paparan skrin seorang peniaga di sebuah platform jual beli atas talian yang menawarkan perkhidmatan mengimbas tahap kecurangan pasangan.
Individu berkenaan menggunakan foto Fedtri ketika sedang menerima rawatan tradisional yang juga merupakan sebahagian babak lakon semula dalam program Khurafat.
Dalam pada itu, penyampai radio Buletin FM ini berkata dia masih belum terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.
"Saya dah kongsi mengenai hal itu di media sosial, setakat ini semua orang ketawa... saya sendiri tengok pun nampak lawak sebab mereka sediakan perkhidmatan itu dengan bayaran RM30, rasanya tak ada orang percaya.
"Buat masa ini tak terfikir nak ambil tindakan kerana tak ada impak lagi dan apa yang saya nampak hanya ada lapan orang sahaja yang melanggan.
"Tapi kalau ada yang memanipulasi, pasti tindakan undang-undang akan diambil," ujarnya. -CARI
Sumber: mStar Online |