Keadaan kereta dipandu mangsa yang remuk selepas merempuh perhentian bas dan dirempuh pikap dalam kemalangan yang berlaku di Simpang Sebauh, Jalan Bintulu-Miri pada malam Ahad.
BINTULU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh perhentian bas dalam kemalangan yang berlaku di kawasan Simpang Sebauh, Jalan Bintulu-Miri, pada malam Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, insiden ini menyebabkan mangsa yang dikenali sebagai Kingnontan Anak Peran, 40, terpelanting keluar dan maut di lokasi kejadian.
Insiden ini katanya menyebabkan kereta dipandu mangsa berpusing ke tengah jalan sebelum dirempuh sebuah pikap yang sedang bergerak dari arah Miri menuju ke Bintulu.
Insiden rempuhan ini turut menyebabkan bahagian hadapan pikap berkenaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala kereta dipandu mangsa remuk pada bahagian hadapan dan sisi kanan kereta.
"Pemandu pikap terbabit yang merupakan seorang lelaki berumur 35 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.
Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Rumah Mayat Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.
utusanborneo.com.my/2021/12/27 |