Edited by Vellfire at 22-12-2021 09:50 AM
KUALA LUMPUR: Generasi muda Sarawak berpotensi kehilangan status anak negeri jika kedudukan istimewa di bawah Perkara 161A (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai anak negeri apabila kedua-dua ibu bapanya merupakan kumpulan etnik seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Sehingga kini ia hanya mengiktiraf 28 kumpulan etnik di Sarawak sedangkan terdapat lebih 70 kumpulan etnik di negeri ini dan jika tidak ditangani dengan sewajarnya, ini akan menjadi masalah besar.
“Sarawak adalah tempat yang baik dan rakyat hidup harmoni antara satu sama lain. Itulah sebabnya hampir satu pertiga penduduk Sarawak adalah keturunan campuran kerana kahwin campur merupakan perkara biasa di sini,” katanya.
Ahli Parlimen Satubong itu berkata demikian pada sesi taklimat mengenai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021, semalam.
“Sebab itu kita perlu menyemak dan meminda undang-undang ini bagi memastikan generasi muda Sarawak tidak akan kehilangan apa yang menjadi milik mereka,” tambahnya.
Tambahnya, dengan pindaan ini, kuasa untuk memutuskan kaum mana di Sarawak yang akan diiktiraf sebagai peribumi negeri akan ditentukan melalui undang-undang negeri.
Rang undang-undang itu dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga di Dewan Negara Khamis ini, pada 23 Disember.
|