KUALA LUMPUR - Banjir besar yang melanda di beberapa kawasan di Lembah Klang pada 18 Disember 2021 terutamanya Klang, Shah Alam, Sepang dan Hulu Langat telah memusnahkan banyak harta benda.
Selepas hampir sehari banjir di kawasan-kawasan tersebut, sesetengah kawasan di Kuala Lumpur pula mula dinaiki air.
Namun tindakan pantas pihak berwajib telah berjaya mengawal situasi banjir di ibu kota dengan mengalihkan 5 juta meter padu air menggunakan terowong SMART (Stormwater Management And Road Tunnel) yang juga menjadi laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas antara pusat bandar Kuala Lumpur dan Lebuhraya Sungai Besi (walaupun tol RM3).
Memetik Astro Awani, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, 5 juta meter padu air (menyamai kapasiti air dalam 2,000 kolam renang saiz Olimpik) berjaya dilencongkan pada Sabtu lalu (18 Disember) selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengaktifkan lencongan banjir dalam usaha mengurangkan impak hujan lebat.
Lencongan SMART diaktifkan hingga Mod 4 pada jam 7.45 petang hingga 12 tengah hari, 19 Disember.
Menurut Ir Dr Zaini, ini kali pertama Terowong SMART digunakan untuk tujuan melencong air melebihi tiga jam sejak siap dibina dan dibuka pada 2007 yang mana proses lencongan air berlarutan selama 22 jam.
Beliau percaya banjir di tengah ibu kota akan bertambah buruk jika air sebanyak 5 juta meter padu tidak dapat dilencongkan.
Jika tidak dilencongkan air sungai Klang akan masuk ke Kuala Lumpur dan bergabung di Masjid Jamek. Walaupun SMART mengalir keluar 5 juta meter padu, tetapi air masih pada paras bawah jambatan.
Bayangkan 5 juta meter padu air itu tidak dilencongkan, kalau ikut pengiraan memang Kuala Lumpur akan tenggelam," katanya.
Rata-rata netizen memanjatkan kesyukuran kepada hadrat Ilahi dan mengucapkan terima kasih atas jasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas cetusan ideanya untuk membina terowong tersebut.
Terdahulu, setiap kali berlaku banjir kilat di Kuala Lumpur, ramai yang menggunakan media sosial menyatakan ketidakpuasan hati dan mempersoalkan fungsi Smart Tunnel yang dianggap membazirkan duit rakyat. - CARI
|