CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 619|Reply: 0

[Borneo] CPTPP: Peluang yang hilang pada 2021

[Copy link]
Post time 20-12-2021 01:31 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 20-12-2021 05:33 AM



KUALA LUMPUR: Malaysia, yang secara beransur-ansur melonggarkan belenggu ekonomi akibat pandemik COVID-19, kini berada di landasan pemulihan dengan perdagangan berkembang pesat berikutan permintaan terpendam walaupun terjejas sedikit akibat daripada gangguan rantaian bekalan di dalam negara dan juga global yang kemungkinan berterusan memasuki 2022.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industria (MITI) bagi tempoh 10 bulan pertama 2021, perdagangan berkembang sebanyak 23.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.805 trilion.

Eksport melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh hanya 10 bulan, meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM1.004 trilion dan mengatasi keseluruhan eksport pada 2020.

Selain itu, eksport juga mengatasi nilai tahunan tertinggi yang pernah direkodkan pada 2018. Import meningkat sebanyak 21.8 peratus kepada RM801.17 bilion dan lebihan perdagangan melonjak sebanyak 39.2 peratus kepada RM202.58 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan perdagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh itu.

Perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala telah menjadi penyumbang utama kepada pemulihan itu.

Perdagangan dengan rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) semasa tempoh 10 bulan pertama 2021 yang membentuk 66.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM1.203 trilion berbanding tempoh yang sama pada 2020. Eksport berkembang 22.9 peratus kepada RM670.74 bilion dan import meningkat sebanyak 25.3 peratus kepada RM532.3 bilion.

Hilang Peluang Disebabkan Kelewatan Ratifikasi CPTPP

Keadaan mungkin menjadi lebih baik sekiranya Malaysia telah meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industrii Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dipetik sebagai berkata Malaysia dijangka meratifikasikan perjanjian perdagangan itu pada pertengahan tahun depan.

CPTPP dimeterai oleh 11 negara, termasuk Malaysia pada 2018.

Pada masa ini perjanjian itu dikuatkuasakan di Australia, Kanada, Jepun, New Zealand, Mexico, Peru, Singapura dan Vietnam, manakala Malaysia diberikan status sebagai pemerhati sehinggalah proses ratifikasi itu dicapai dan tidak berhak menghalang sebarang keputusan yang dibuat melibatkan penguatkuasaan perjanjian itu.

Selain tarif, CPTPP akan turut menangani halangan bukan tarif (NTB) melalui penglibatan disiplin khusus untuk meningkatkan ketelusan.

Mohamed Azmin berkata berikutan pandemik, analisis kos faedah (CBA) perlu dilaksanakan semula oleh MITI, manakala pada 9 Nov lepas beliau berkata CBA itu dijangka dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan menjelang akhir tahun ini.

Beliau menyifatkan kelewatan ratifikasi CPTPP itu telah menyebabkan negara kehilangan peluang.

“Hampir lima tahun telah berlalu sejak pelaksanaan CPTPP yang mana Malaysia telah kehilangan peluang untuk dimanfaatkan daripada perjanjian itu disebabkan ratifikasi yang masih belum selesai,” katanya di Parlimen pada November.

Mohamed Azmin berkata antara manfaat itu adalah akses kepada pasaran lebih luas yang dijangka berkembang sejak United Kingdom, China dan Taiwan yang kini menjadi ahli baharu kepada pakatan perdagangan itu.

Disebabkan Malaysia belum lagi meratifikasi perjanjian itu, beliau berkata barangan Malaysia tidak berhak menerima layanan keutamaan pada masa ini jika dieksport ke Kanada, Mexico dan Peru.

Beliau berkongsi mengenai Vietnam selaku negara ASEAN yang telah menerima manfaat daripada CPTPP.

“Vietnam menyaksikan peningkatan eksport sebanyak lapan peratus atau US$34.3 bilion (RM142.7 bilion) pada 2019 berbanding tahun sebelumnya. Vietnam turut mencatatkan US$9.2 bilion (RM38.3 bilion) pelaburan langsung daripada negara CPTPP atau 24 peratus daripada pelaburan asing negara bagi 2019.

China memfailkan permohonan rasminya untuk menyertai CPTPP pada 16 Sept manakala UK optimistik akan dapat menyertai pakatan perdagangan itu menjelang akhir 2022.
UK secara rasmi telah memohon untuk menyertai CPTPP pada 1 Feb tahun ini, manakala proses penyertaannya bermula pada 2 Jun.

Dianggap sebagai FTA bertaraf ‘emas’, secara bersamanya negara-negara ini mempunyai gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak AS$13.5 trilion dan populasi lebih 500 juta orang.

Perjanjian itu ditandatangani pada Mac 2018 dan berkuat kuasa pada akhir tahun itu. Sebarang penyertaan baharu dalam CPTPP memerlukan sokongan sebulat suara daripada semua ahli blok perdagangan.

Di Malaysia, terdapat gesaan yang sangat kuat dan lantang daripada sektor swasta agar kerajaan mempercepatkan proses ratifikasi pakatan perdagangan itu.

Semasa webinar bertajuk 'Bagaimana Industri Malaysia Mungkin Mendapat Manfaat daripada CPTPP?' yang diadakan baru-baru ini oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Ketua Pegawai Eksekutifnya Tricia Yeoh berkata penyelidikan oleh IDEAS telah mencadangkan bahawa meratifikasikan CPTPP akan meningkatkan KDNK Malaysia lebih RM14 bilion, atau peningkatan 1 peratus.

Ini, kata Tricia, akan memberi keuntungan yang mudah kepada ekonomi yang dilanda oleh pandemik.

Ahli panel Amir Bukhairi Bakhtiar dari Bahagian Rundingan Strategik di MITI berkata setakat ini, hanya tiga penandatangan CPTPP sedang menunggu ratifikasi, termasuk Malaysia, Chile dan Brunei Darussalam.

Tanpa ratifikasi, negara-negara ini tidak dapat menikmati kadar tarif keutamaan yang ditawarkan di bawah perjanjian, dan juga tidak dapat menyekat sebarang konsensus yang dibuat oleh pihak lain dalam semua mesyuarat CPTPP.

Amir Bukhairi berkata pindaan terhadap undang-undang di Malaysia bagi memastikannya menepati obligasi perjanjian itu juga berjalan lacar dengan enam daripada 14 akta terbabit telah dipinda.

Beliau juga menyuarakan keyakinan MITI bahawa Malaysia berada dalan kedudukan baik untuk meratifikasi CPTPP menjelang suku ketiga 2022.

RCEP Perjanjian Perdagangan Penting Untuk Malaysia

Satu lagi perjanjian perdagangan penting yang membabitkan Malaysia adalah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Menurut Mohamed Azmin, Malaysia kini dalam peringkat menjalankan proses domestik sebelum perjanjian itu dapat diratifikasi atau disahkan.

Proses ratifikasi tersebut memerlukan pindaan beberapa akta di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membabitkan perkara berkaitan hak harta intelek iaitu Akta Paten, Akta Hak Cipta dan Akta Cap Dagang.

Pada 25 November lepas, beliau berkata draf pindaan akta terbabit sedang diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara dan hanya selepas diluluskan, Malaysia akan menyerahkan surat cara ratifikasi berkenaan kepada Sekretariat ASEAN.

Menurut Mohamed Azmin sebagaimana termaktub dalam Perenggan 3 Artikel 20.6 Perjanjian RCEP, 60 hari selepas instrumen terbabit diserahkan kepada Sekretariat ASEAN, perjanjian RCEP akan berkuat kuasa ke atas Malaysia.

Berdasarkan penilaian Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), nilai eksport negara dijangka meningkat sebanyak RM44 bilion setahun apabila RCEP berkuat kuasa kelak.

Dalam pada itu, notis Sekretariat ASEAN pada 3 November lepas menyatakan RCEP telah mencapai tempoh ambang untuk dilaksanakan dan akan berkuat kuasa pada 1 Jan, 2022.

Ini berikutan tindakan Australia dan New Zealand menjadi negara anggota terbaharu meratifikasi perjanjian tersebut dan menyusuli negara-negara lain seperti Brunei, Kemboja, Laos, Singapura, Thailand, Vietnam, China dan Jepun.

Pada pihak ASEAN, Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan rakan dialog mereka telah memperbaharui diplomasi ekonomi serantau, yang komited untuk mempergiatkan lagi usaha global bagi memastikan pertumbuhan yang rancak dan pemulihan yang berdaya tahan terhadap pandemik COVID-19.

Mohamed Azmin berkata komitmen itu dibuat pada rundingan tahunan ASEAN dengan rakan dialog, negara anggota Sidang Kemuncak Asia Timur serta pelbagai majlis perniagaan yang diadakan antara 13 dan 15 Sept, 2021.

Rakan dialog ialah China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Hong Kong, China, India, Kesatuan Eropah (EU), Rusia, Australia, New Zealand, Jepun dan United Kingdom.

“Tema menyeluruh perbincangan itu adalah mengenai usaha untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi daripada pandemik, dengan semua AEM dan rakan dialog mengulangi pentingnya kerjasama global yang berterusan, memastikan akses yang saksama, serta pengedaran vaksin yang selamat dan berkesan.

“Kami turut mengulangi komitmen untuk memastikan pasaran terus terbuka dan memastikan aliran yang berterusan, lancar dan mampan terhadap barangan keperluan dan perkhidmatan serta rantaian bekalan, sambil memastikan kedudukan ASEAN kekal di hadapan,” katanya.

Meskipun pandemik, Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelaburan langsung asing (FDI) bersih yang positif  bernilai RM12.8 bilion pada suku ketiga 2021, berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan sebanyak 56 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat kepada lebih daripada RM30 bilion, peningkatan 300 peratus berbanding tempoh sama 2020. - BERNAMA


utusanborneo.com.my/2021/12/20
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

7-5-2024 06:02 AM GMT+8 , Processed in 0.054944 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list