|
Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula
KEADAAN terkini laluan Kilometer 27.2, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang dibuka hari ini selepas kejadian tanah runtuh pada 2 Disember lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
IPOH: Selepas lebih dua minggu laluan di Kilometer 27.2, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menuju ke Cameron Highlands ditutup akibat tanah runtuh, hari ini jalan tersebut dibuka semula.
Osman Jali Bashar, 42, dari Kulim, Kedah berkata, pembukaan semula jalan itu membolehkan dia dan keluarga meneruskan rancangan ke pusat percutian tersebut.
Katanya, meskipun terdapat laluan alternatif iaitu melalui Jalan Tapah-Ringlet, keadaan jalan yang sempit dan sukar dilalui dua kenderaan serentak menyebabkan dia lebih memilih menggunakan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.
“Jika jalan ini masih ditutup, mahu atau tidak memang kami terpaksa batalkan percutian kerana Jalan Tapah-Ringlet bukan pilihan disebabkan takut berselisih (laluan sempit).
“Keputusan untuk bercuti ini pun dibuat saat akhir selepas mengetahui mengenai pembukaan jalan menerusi media sosial. Ada juga rasa takut-takut untuk naik (bimbang tanah runtuh) tetapi apabila lihat kenderaan lain keluar masuk, macam okey saja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Penunggang motosikal, Seleman Mat Saad, 35, berkata, dia bersama 13 rakan lain terpaksa berpatah balik menggunakan Jalan Ringlet-Tapah selepas Jalan Simpang Pulai-Blue Valley masih ditutup semalam.
“Kami rancang naik ke atas (Cameron Highlands) sebelum kejadian tanah runtuh lagi. Ingatkan semalam, jalan ini telah dibuka tapi bila sampai, kami tidak dibenarkan lalu dan terpaksa berpatah balik ikut Tapah.
“Risau juga untuk gunakan jalan ini (Simpang Pulai-Blue Valley) kerana hari hujan dan banyak kenderaan berat. Kami pun tunggang motosikal dengan berhati-hati disebabkan kabus tebal,” katanya.
Bagi pemandu lori sayur dan barangan runcit yang mahu dikenali sebagai Syed Saiful, 33, pembukaan semula laluan itu amat melegakan kerana tidak perlu menggunakan Jalan Tapah-Ringlet yang mengambil masa lebih lama untuk ke Cameron Highlands.
“Sejak jalan ditutup memang seksa sebab kena ikut Tapah untuk hantar barang. Biasanya jika dari Taiping ke Cameron Highlands hanya ambil masa tiga jam tetapi guna Jalan Tapah, tambah sejam lagi,” katanya.
Pada 2 Disember lalu, dua lelaki maut setelah kenderaan masing-masing ditimbus runtuhan tanah dalam kejadian sekitar pukul 1.30 petang
Mangsa yang maut ialah pemandu lori sayur dari Tanjung Piandang, Kerian, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, dari Klang, Selangor.- UTUSAN
Sumber:https://www.utusan.com.my/nasion ... ands-dibuka-semula/
|
|