Percutian penyanyi rap Lil J, 22, bertukar tragedi selepas terbabit kemalangan jalan raya di Pantai Cenang, Langkawi, Isnin lalu dan menerima jahitan di beberapa anggota badannya.
Lil J atau nama sebenarnya Vijay Raj berkata, dalam kejadian langgar lari kira-kira jam 8 malam itu, motosikal ditungganginya tiba-tiba dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.
Kredit foto: IG Lil J
"Ketika saya memperlahankan motosikal kerana terdapat bonggol di atas jalan, saya tiba-tiba dirempuh sebuah kereta dari arah belakang hingga mengakibatkan bahagian dagu menerima 14 jahitan selain kaki kiri lapan jahitan dan lutut pula tiga jahitan.
"Ketika kejadian, saya nampak darah keluar dengan banyak di bahagian muka sehingga saya pengsan di tempat kejadian. Namun, mujurlah ada dua kenalan yang mengenali datang membantu dan membawa saya ke hospital.
"Sebenarnya saya ke Pulau Langkawi seorang diri sejak Jumaat lalu. Tak sangka percutian berakhir dengan kemalangan. Saya bersyukur kerana tiada kecederaan serius berlaku dan ada yang mengenali saya ketika itu," katanya.
Kredit foto: Harian Metro
Lil J yang sudah pulang ke rumah sejak semalam memberitahu, dia sudah membuat laporan polis dan kini berehat.
"Laporan polis sudah dibuat tapi saya tak boleh nak berkongsi maklumat terperinci kepada pihak polis kerana saya tidak melihat nombor pendaftaran kereta yang melanggar saya. Cuma, saya perasan kenderaan itu adalah jenis Toyata Innova.
"Sekarang ini saya sudah berada di rumah bersama keluarga. Sepatutnya, semalam saya membuat persembahan di sidang media Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021), tapi disebabkan insiden yang berlaku saya kena berehat dengan secukupnya.
Kredit foto: IG Lil J
"Saya juga terpaksa menolak beberapa tawaran nyanyian kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Saya mungkin akan bercuti selama tiga minggu dan sekarang masih menahan kesakitan," katanya.
Sumber: Harian Metro |