Pemain sayap skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid merendah diri menegaskan tidak pernah menganggap dirinya seorang pemain bintang selepas menjaringkan hatrik untuk membantu Malaysia membenam Laos 4-0 sekali gus meraih kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020.
Kredit foto: IG Safawi Rasid
Tiga gol dijaringkan Muhammad Safawi di Stadium Bishan, Singapura itu membolehkan beliau kini mendahului senarai penjaring terbanyak kempen kejuaraan dengan mengumpul empat gol.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 24 tahun itu mendedikasikan kejayaannya meledak hatrik kepada barisan kejurulatihan serta rakan sepasukan dan enggan mendabik dada dengan pencapaian itu meskipun ia boleh dianggap sebagai aksi terbaiknya dalam tempoh kebelakangan ini.
Kredit foto: IG Safawi Rasid
“Saya sebelum ini tak pernah saja-saja cakap kepada orang termasuk media bahawa saya seorang bintang handalan. Dengan (sokongan) jurulatih dan rakan-rakan buatkan saya kembali. Terima kasih kepada Allah izinkan saya kembali ke prestasi sebenar.
“Tapi saya juga tahu saya kena terus tingkatkan tahap permainan saya untuk bantu pasukan dan kami akan cuba berikan yang terbaik pada perlawanan akan datang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Laos hari ini.
Kredit foto: IG Safawi Rasid
Pada aksi yang berlangsung petang tadi, Muhammad Safawi meledak dua gol pertama Malaysia pada minit ketujuh dan ke-34 untuk memberikan permulaan sempurna buat skuad bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe.
Muhammad Safawi melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-80 iaitu gol keempat skuad Harimau Malaya, dua minit selepas pemain pertahanan Mohd Shahrul Saad menjaringkan gol ketiga negara.
Malaysia akan menentang Vietnam pada Ahad sebelum menutup saingan Kumpulan B menentang musuh tradisi Indonesia pada 19 Disember ini.
Sumber: Bernama |