CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 872|Reply: 2

Jadi pengarah mesti ada minat - Syamsul Yusof

  [Copy link]
Post time 27-11-2021 10:38 PM | Show all posts |Read mode
Jadi pengarah mesti ada minat - Syamsul Yusof


Karya garapan Syamsul termasuk filem dilakonkannya sering dinanti-nantikan peminat. Foto IG Syamsul Yusof

KUALA LUMPUR: Pengarah muda, Syamsul Yusof mengaku bukan mudah meyakinkan bapa, Datuk Yusof Haslam bahawa dirinya mampu menjadi sutradara berkaliber.

Barangkali perbezaan usia dan generasi, Syamsul, 37, mengaku dia dan bapa yang digelar 'Six Million Dollar Man', sering bercanggah pendapat apabila berbincang soal kerja.

Namun, sejak duduk di kerusi pengarah, anak kedua daripada empat beradik itu membanggakan bapanya apabila muncul sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-23 melalui filem Evolusi KL Drift 2 pada 2010.

Ketika itu, Syamsul muncul pengarah paling muda membolot trofi berkenaan.

Berkongsi detik bermulanya karier sebagai pengarah, Syamsul berkata, ayah mendedahkan dirinya dengan projek drama.

"Ramai mungkin tidak tahu sebelum mengarahkan filem Evolusi KL Drift, saya menjadi pengarah drama selama tiga tahun.

"Antara drama arahan saya adalah siri Gerak Khas. Banyak siri saya hasilkan hingga mendapat perhatian 'orang kuat' stesen televisyen (TV).

"Mereka nampak kelainan dalam episod yang saya arahkan. Syukur, selepas hasil kerja mendapat pujian, barulah ayah benarkan menceburi bidang perfileman.


Syamsul menjelaskan tidak pernah mendapat layanan istimewa hanya kerana bapanya adalah pemilik empayar filem, Skop Productions Sdn Bhd. Foto IG Syamsul Yusof

"Namun, untuk mendapatkan modal daripada ayah, bukanlah mudah. Ayahlah insan nombor satu yang akan mengkritik saya," katanya.

Syamsul berkata, antara perkara yang sering dibangkitkan bapa adalah pemilihan jalan cerita dan penggunaan laras bahasa dalam filem.

Tambahnya, ayah kurang gemar dengan penggunaan bahasa kasar.

Antara filem arahan Syamsul yang kurang digemari Yusof adalah KL Gangster dan Khurafat kerana syarikat filem diasaskannya tidak pernah menghasilkan filem seram.

"Namun, ayah tidaklah sampai tahap mengganggu kreativiti saya. Ayah cuma risaukan soal bajet. Tetapi sekarang apabila sudah menjadi penerbit, saya mula faham kenapa ayah bising-bising dulu.

"Ayah sekarang lebih relaks dan tidak lagi mencampuri urusan saya," katanya pada sesi IG Live membincangkan topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini.

Sesi bersama penggiat seni itu dianjurkan sempena FFM 31 pada 10 Disember depan.

Syamsul berkata, dia mengambil keputusan menghasilkan filem Khurafat kerana menyedari syarikat produksi, MIG Pictures Sdn Bhd banyak menghasilkan filem seram seperti Jangan Pandang Belakang pada 2010 dan 2011.

"Skop Production tidak pernah menghasilkan filem seram. Saya tidak mahu dikenali sebagai pengarah filem aksi semata-mata.

"Apabila saya kaji pasaran filem tempatan, saya dapati orang kita sukakan filem seram. Tetapi saya tidak mahu ambil mudah.

"Memang orang kita minat filem seram, tapi saya perlu mengkaji sedalam-dalamnya apa yang membuatkan orang mahu menonton.

"Ketika itu, Korea dan Jepun cukup popular dengan filem seram. Selepas mengkaji, terhasillah Khurafat.

"Walaupun kali pertama menghasilkan filem seram, saya tidak kekok. Sebaliknya, saya tahu apa yang hendak dibuat," katanya.

Syamsul berkata, biarpun bergelar anak kepada pengarah dan penerbit berpengaruh, bukan bererti dia mendapat layanan istimewa oleh penggerak industri kreatif.

"Orang tidak peduli saya anak Yusof Haslam. Mungkin saya muda ketika itu dan ada impian serta harapan tinggi. Orang tengok saya seolah-olah 'poyo'.

"Jadi, ketika mula-mula masuk set penggambaran, saya tidak dapat mengelak apabila skrip diperkotak-katikkan. Ada yang memandang rendah kepada saya.

"Pelakon tidak mahu beri kerjasama, kru teknikal tak mahu ikut arahan. Tetapi layanan sedemikian langsung tidak mematahkan semangat.

"Bagi saya, perkara itu lumrah dan bukan terjadi pada saya seorang," katanya.

Bagi Syamsul, apa yang penting, pengarah mesti mempunyai minat yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

"Apabila tidak ada minat, kita tidak kuat untuk menepis cabaran yang datang. Ini menyebabkan kita jadi mudah mengalah hingga tidak mahu menghasilkan filem lagi," katanya.

Syamsul yang mencipta kejayaan membanggakan melalui filem Munafik hingga diangkat sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-57, tidak pernah merasakan dirinya hebat.

Baginya, semua orang boleh boleh menjadi pengarah. Namun, hendak menjadi sutradara berkaliber bukanlah mudah.

"Saya tidak pernah rasakan diri hebat. Malah, saya percaya lebih ramai pengarah yang lebih hebat. Namun, apabila diberi anugerah, saya bersyukur.

"Tetapi sebagai pengarah, saya suka kaji semua jenis filem dengan terperinci. Saya masih lakukan hingga hari ini. Setiap kali ada kelapangan, saya tonton filem yang berjaya dan gagal.

"Saya buat begitu kerana ingin tahu apa yang membuatkan sesebuah filem itu berjaya atau gagal. Saya jadikan pengarah filem Avatar dan Titanic, James Cameron sebagai contoh. Dia tidak menghasilkan banyak filem. Namun, setiap kali terbitkan filem, karyanya 'meletup'.

"Saya tidak mahu menghasilkan filem banyak seperti kilang. Biarlah ambil masa kerana saya percaya, sesuatu yang baik memerlukan masa.

"Bagi saya, tiada apa yang membanggakan jika dapat mengarahkan puluhan filem dalam tempoh singkat," katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... minat-syamsul-yusof

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 27-11-2021 10:55 PM | Show all posts
TL-DR
Ape yg nk digosipkan ni?
Panjang nau2 artikel.
I is malas baca
Reply

Use magic Report

Post time 27-11-2021 11:51 PM From the mobile phone | Show all posts
Iol tak kisah sol...
Asalkan jangan asyik buat cerita gangster sudah laaa...
Muakkk muntah loyaaaa nokkksss
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 08:33 AM GMT+8 , Processed in 0.113215 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list