Anggota bomba membawa mayat mangsa dari sungai sejurus ditemui di kawasan hilir Sungai Anap pada petang Khamis.
TATAU: Seorang warga emas lelaki yang tidak balik ke rumah setelah keluar mencari buluh di Sungai Anap sejak empat hari lepas ditemui mati lemas di kawasan hilir sungai berkenaan pada jam 4.30 petang Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Jankey Jikat berkata, mayat mangsa, Ebak Ikong, 81, ditemui terapung di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bagiau oleh kakitangan sekolah.
"Sejurus itu, kakitangan sekolah terbabit bertindak mengikat mayat mangsa pada dahan pokok berhampiran sungai sementara menunggu tindakan lanjut dari pasukan bomba," ujarnya.
Menurutnya, sampai di lokasi kejadian, sepasukan anggota bomba dari BBP Tatau bertindak mengeluarkan mayat mangsa dari sungai dan membawanya ke jeti lama ekspres di Pekan Tatau.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Pada petang Isnin lalu, mangsa dilihat keluar dari rumah panjangnya di Rumah Saran Belang, Nanga Tau dengan menggunakan perahu bagi mencari buluh dan tidak balik ke rumah panjang meskipun hari sudah beransur gelap.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, keluarga mangsa bertindak melaporkan kejadian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau bagi menjalankan siasatan berhubung kehilangan mangsa pada jam 6 petang hari sama.
utusanborneo.com.my/2021/11/26
|