Perdana Menteri Israel, Naftali Bennet menyatakan bahawa Israel menentang rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk membuka semula pejabat kedutaan AS untuk rakyat Palestin di Baitulmuqaddis, lapor laman berita RT News semalam.
“Kami menjelaskan perkara ini kepada mereka (AS),” kata Bennet ketika menjawab soalan wartawan semasa sidang akhbar semalam.
Bennet dan Menteri Luar Israel, Yair Lapid dikatakan mengulangi dasar yang sama berhubung isu Baitulmuqaddis.
Kredit foto: The Times of Israel
Presiden AS sebelum ini, Donald Trump memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis. Tindakan itu menimbulkan kemarahan rakyat Palestin yang melihat Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara Palestin merdeka pada masa hadapan.
Sebelum ini, cadangan mengembalikan Baitulmaqdis Timur kepada Palestin telah berulang kali dilakukan sebagai penyelesaian dua negara terhadap konflik Israel-Palestin. Bagaimanapun, Rejim Zionis sehingga sekarang menolak pelan penyelesaian sedemikian.
Baitulmuqaddis adalah “ibu kota Israel sahaja,” kata Bennet semalam.
Konsulat AS untuk Palestin itu ditutup pada 2019 oleh Trump, dan kerajaan Israel telah menentang rancangan Biden untuk membukanya semula setelah sekian lama. Apabila Biden mengambil alih White House, antara langkah pertama yang diumumkan oleh pentadbirannya adalah pembukaan semula fasiliti itu.
Bennet mencadangkan pembukaan konsulat AS untuk Palestin di suatu tempat di luar Baitulmuqaddis seperti di Tebing Barat. Pentadbiran AS telah menolak cadangan tersebut, lapor media Israel.
Sumber: Kosmo |