PASIR GUDANG: Seramai 15 individu dikompaun berjumlah keseluruhan RM95,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebuah pusat hiburan di Taman Molek, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata mereka terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh wanita berusia 18 hingga 42 tahun, termasuk seorang penjaga premis terbabit, yang kesemuanya adalah warga tempatan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan Op Noda/Op Cahaya kira-kira jam 12.30 tengah malam itu turut mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen hiburan awam.
"Penjaga premis itu dikompaun RM25,000, manakala pelanggan terbabit pula masing-masing dikenakan kompaun RM5,000.
"Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit 2021.
"Selain itu, 'mixing console', tiga pembesar suara, tiga mikrofon serta tiga resit perniagaan turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara.
"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak atau individu cuba menjalankan operasi pusat hiburan yang masih belum dibenarkan dibuka mengikut undang-undang sedia ada," katanya.