[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - November 2, 2021 @ 12:26pm[email protected]
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar (dua kanan) memantau bekalan dan harga barangan menjelang perayaan Deepavali pada program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali (SHMMP) 2021 di Pasar Awam Chowrasta, Jalan Penang di sini. - Foto MIKAIL ONG
GEORGETOWN: Penutupan operasi kilang pembungkusan semula minyak masak paket bersubsidi di daerah Timur Laut, di sini, antara punca kekurangan bahan itu sejak seminggu lalu.
Ia berikutan terdapat jangkitan positif COVID-19 dalam kalangan pekerja dikesan di kilang berkenaan menyebabkan operasinya terpaksa dihentikan selama seminggu sekali gus mengganggu bekalan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, bagaimanapun isu bekalan berkenaan pulih sejak semalam.
Mohd Ridzuan berkata, mereka adalah pihak yang dilantik bagi operasi pembungkusan semula minyak masak bersubsidi terbesar di daerah Timur Laut yang membekalkan sebanyak 150 tan sebulan.
"Jadi isu kekurangan atau gangguan bekalan makanan hanya berlaku di daerah ini sahaja, tidak membabitkan seluruh Pulau Pinang.
"Selain itu kuota bagi pengedaran minyak masak paket bersubsidi yang sudah mencukupi pada bulan lalu juga menjadi penyebab kekurangan bekalan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, setakat ini tiga wakil di daerah Timur Laut dilantik bagi operasi pembungkusan semula minyak masak paket bersubsidi itu.
Katanya, pemeriksaan KPDNHEP juga mendapati peruncit sudah mula menerima bekalan minyak masak mulai minggu ini.
"Kuota minyak masak bersubsidi bagi Pulau Pinang ialah sebanyak 3,434,000 kilogram sebulan dan ia dibungkus semula oleh 25 wakil syarikat yang dilantik di negeri ini," katanya.
Semalam, media melaporkan aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendapati bekalan minyak masak paket bersubsidi berkurangan sejak seminggu lalu.
Menerusi tinjauan yang dilakukan CAP, peniaga kedai runcit mendakwa mereka tiada bekalan stok dan belum dihantar pembekal menjelang perayaan Deepavali.
Terdahulu, Mohd Ridzuan ditemui selepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan Deepavali 2021 peringkat negeri Pulau Pinang di Pasar Chowrasta, di sini.
Sebanyak 11 bekalan dan barangan keperluan yang terbabit menerusi skim berkenaan bermula 1 hingga 7 November ini.