BAJET 2022: Hajiji ketika menonton Bajet 2022 secara langsung di sini, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Bajet 2022 disifatkan sebagai inklusif dan tidak mengecualikan mana-mana sektor atau sesiapa pun.
"RM332.1 bilion Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera adalah belanjawan besar untuk tahun depan yang dijangka khusus bagi tahun pemulihan semua sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Peningkatan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk kemudahan asas, seperti infrastruktur, bekalan air dan elektrik serta pembangunan penjagaan kesihatan di Sabah adalah satu berita yang baik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menghargai usaha kerajaan Pusat yang prihatin terhadap keperluan Sabah dengan mencadangkan agar RM1.5 bilion akan diperuntukan kepada pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.
Katanya, turut dialu-alukan adalah jaminan diberikan kerajaan Pusat bahawa projek infrastruktur bernilai RM3.5 bilion termasuk Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan tahun hadapan.
"Cadangan insentif dan pelepasan cukai untuk pelbagai sektor yang dibentangkan dalam Bajet berkenaan juga sejajar dengan Agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
"Kita dapat melihat Bajet kali ini melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-12 dan kita sangat alu-alukan cadangan peruntukan kepada Sabah untuk tahun hadapan," katanya.
Hajiji turut mengalu-alukan peruntukan subsidi berterusan bernilai RM209 juta kepada perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak.
Katanya, cadangan mewujudkan kem Pasukan Gerakan Am di Pagalungan juga akan membantu mengetatkan lagi tahap keselamatan di sempadan diantara Malaysia dan Indonesia.
utusanborneo.com.my/2021/10/29
|