|
Polis agama Islam di utara Nigeria menangkap seorang lelaki yang menjual dirinya sebagai usaha melepaskan diri daripada kancah kemiskinan, kata seorang pegawai polis tempatan pada Rabu.
Lelaki itu, Aliyu Idris, 26, ditangkap pada Selasa lalu oleh polis moral di Kano selepas gambarnya di media sosial menunjukkan dia memegang plakad yang tertera ayat bahawa dirinya mahu dilelong pada harga AS$49,000 (RM203,644).
Kredit foto: LEGIT9JA
Kano ialah sebuah negeri yang terletak di utara Nigeria yang melaksanakan undang-undang syariah.
Seorang jurucakap polis agama, Lawal Ibrahim Fagge berkata, lelaki itu ditangkap kerana menjual diri yang merupakan kesalahan di bawah undang-undang syariah, lapor AFP.
Menurut Fagge, Idris meninggalkan kampungnya untuk pergi ke Kano bagi mencari pekerjaan tetapi tidak berjaya.
Lelaki itu kemudian memberitahu bahawa dia tidak dapat mencari pekerjaan termasuk kerja-kerja kasar menyebabkannya membuat keputusan untuk menjual diri, kata jurucakap tersebut.
Bagaimanapun, dia tidak dikenakan sebarang pendakwaan tetapi menurut polis agama tersebut, Idris diberikan kaunseling berhubung perbuatannya.
Sumber: Sinar Harian |
|