SIDANG KEMUNCAK: Hajiji (kiri) bersama Pandikar (kanan) menjadi pemerhati untuk Sidang Kemuncak Ke-14 BIMP-EAGA.
KOTA KINABALU: Sabah akan melaksanakan peranannya dalam memastikan kejayaan rancangan pemulihan yang membabitkan pembangunan Koridor Ekonomi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Ke-14 BIMP-EAGA untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat antara negara peserta bagi melonjakkan ekonomi selepas pandemik COVID-19.
Katanya, antara perkara yang dipersetujui dalam Kenyataan Bersama itu adalah inisiatif Kuarantin Satu Borneo untuk memudahkan usaha perdagangan dan pelaburan.
Menurutnya, Sabah turut mengenal pasti tiga titik sempadan iaitu Bantul, Sebatik dan Serudung di bawah fasa kedua inisiatif berkenaan, manakala fasa perintis adalah di sempadan Entikong Indonesia-Tebedu Sarawak dan Sungai Tujuh Brunei-Sungai Tujuh Miri Sarawak.
Hajiji menjadi pemerhati secara maya pada Sidang Kemuncak ke-14 BIMP-EAGA yang dipengerusikan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo di sini hari ini.
"Kami bersetuju dan menyokong pandangan Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Kemuncak itu bahawa BIMP-Eaga akan menjadi platform yang berguna dalam kebangkitan ekonomi.
"Ia juga adalah petanda baik dengan objektif yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025,” katanya.
Turut berucap pada Sidang Kemuncak itu, Sultan Negara Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Filipina Rodrigo Duterte; Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi; dan Presiden Bank Pembangunan Asia Masatsugu Asakawa.
Bersama Hajiji, Duta Khas Sabah ke BIMP-EAGA Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Datu Rosmadi Sulai.
utusanborneo.com.my/2021/10/28
|