KUCHING: Sembilan lelaki diberkas polis kerana disyaki terlibat dengan pergaduhan di hadapan sebuah bistro di Batu 9, Kota Samarahan pada 23 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut menyebabkan seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan akibat terkena senjata tajam.
"Seramai sembilan suspek ditangkap termasuk suspek utama dan mereka ditangkap di sekitar kawasan Batu 7, Padawan. Punca kejadian masih dalam siasatan polis," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, mangsa sehingga berita ini ditulis dilaporkan masih menerima rawatan di sebuah hospital di Kuching.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu segaja mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata.
Katamya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.
"Kita mohon agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengugat ketenteraman awam dan menganggu siasatan polis," ujarnya.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|