|
KUANTAN 15 Feb. – Mayat pelajar yang hilang ketika mandi bersama 11 rakannya di Pantai Balok di sini, semalam ditemui tersangkut di celahan batu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd. Jasmani Yusof berkata, mayat Mohd. Azhar Fhaiz Mohd. Azlan, 17, dari Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur ditemui pada pukul 12.45 tengah hari oleh sekumpulan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira 100 meter dari tempat dia dilapor hilang.
Beliau berkata, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tasik, Cheras itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.30 petang semalam, Mohd. Azhar Fhaiz bersama rakan-rakannya mandi di pantai itu ketika bercuti sempena Tahun Baru Cina.
Lima daripada mereka dihanyutkan ombak dan empat daripadanya diselamatkan oleh orang ramai. – Bernama |
|