|
Ramadan yang indah buat MawiOleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
[email protected]
| MAWI berjanji akan umum tarikh perkahwinannya nanti.
|
DESAS-DESUS mengenai tarikh perkahwinan penyanyi lelaki popular ini bersama kekasih hatinya semakin bertiup kencang.
Namun tuan punya badan pula lebih suka mendiamkan diri meskipun berulang kali diasak pertanyaan yang sama.
Sebetulnya, lelaki popular bernama Asmawi Ani ini tidak berniat untuk menyorokkan perkara yang baik itu daripada pengetahuan sesiapa.
Sebaliknya, dia memohon pengertian daripada semua pihak agar bersabar dan menantikan sahaja pengumuman mengenai perkahwinannya.
Seperti yang dijangka, sekali lagi Mawi, 27, menegaskan, dia akan mengumumkan perkara baik itu selepas raya kelak.
“Tunggu saja lepas raya, saya akan umumkan berita baik itu. Sabar.., sedikit hari lagi saya akan pastikan semua pihak mengetahuinya,” jelasnya sambil menguntum senyuman penuh makna.
Kisah cintanya bersama Nora'asikin Rahmat atau Ekin, 29, bukanlah rahsia lagi.
Malah cinta mereka juga telah beberapa kali dilanda badai namun cinta si pelantun lagu Kian ini begitu kuat membara.
Biarpun pelbagai cerita kurang enak dilemparkan terhadap diri masing-masing semata-mata mahu meruntuhkan istana cinta tersebut namun kedua-duanya masih utuh dan berjaya mempertahankannya.
Tidak cukup dengan itu, jejaka berbintang Virgo ini juga dilihat semakin serius mahu menyunting wanita tersebut sementelah dia juga telah membina rumah yang khabarnya dibuat untuk suri hatinya bertakhta.
Berbuka bersama ibu dan Ekin
Satu yang pasti Ramadan kali ini lebih bermakna apabila ibu tersayang, Ramlah Sarlan turut meluangkan masa meriakan Ramadan bersama anak lelaki tersayang di ibu negara.
Terang Mawi, saat berbuka puasa bersama-sama ibu dan adik beradik yang lain merupakan momen indah yang amat dinantikan meskipun sekadar dua hari sahaja.
Lebih menggembirakan Mawi, kesempatan berbuka puasa bukan hanya disertai ibu tercinta, sebaliknya, bakal permaisuri hatinya turut sama memeriahkan perhimpunan keluarga itu.
“Dapatlah dua hari berbuka puasa dengan mak di rumah saya. Bukan dengan mak sahaja, Ekin pun ada sekali.
“Bukannya senang untuk saya menikmati detik-detik begini memandangkan saya sentiasa sibuk dengan jadual kerja yang padat,” katanya yang kini sedang sibuk merakamkan lagu untuk album Qasidah keduanya dan rakaman suara filem Jin Notti.
Beraya di Kuala Lumpur
Selalunya apabila lebaran menjelma pastinya akan disambut di kampung memandangkan suasananya yang lebih meriah.
Namun untuk lebaran kali ini jelas penyanyi kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini, sambutan Aidilfitri kali ini akan disambut di Kuala Lumpur sahaja.
Selain ingin beraya di kediaman barunya jelas Mawi, dia akan terlibat dengan pelbagai program raya.
“Banyak program raya yang saya akan jayakan. Jadi saya rasa lebih baik saya sambut raya kali ini di sini sahaja.
“Tapi bukan saya sambut seorang kerana mak dan ahli keluarga yang lain juga akan bersama-sama menyambut raya di sini. Jadi kepada peminat janganlah datang beraya di kampung kerana saya tidak berkesempatan untuk mengadakan rumah terbuka di kampung,” katanya lagi.
Walaupun sibuk, jelas Mawi besar kemungkinan dia akan terlibat dengan sebuah konsert di Korea.
“Saya baru diberitahu yang saya mungkin akan terlibat dalam sebuah konsert yang diadakan di Korea pada hari raya kedua.
“Tapi semua itu masih lagi dalam perancangan jadi saya tak boleh nak mengesahkannya lagi,” ceritanya lagi. |
|