|
Siti Nurhaliza nyaris ditikam peminat
Oleh Hardi Effendi Yaacob
SUASANA di Stadium Larkin, Johor Bahru pada petang 15 Oktober 2000 gempar apabila seorang lelaki misteri secara tiba-tiba menghunuskan pisau lipat ke udara sambil menjerit mahu mencederakan penyanyi popular, Siti Nurhaliza Taruddin (kini Datin Seri).
Kejadian berlaku ketika ribuan peminat berasak-asak mahu bersalaman dengan Siti Nurhaliza, yang sebelum itu menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara gabungan artis syarikat rakamannya, Suria Record (SRC) dan penyampai radio Best 104, selain wakil media Johor.
Bagaimanapun, beliau yang kini isteri ahli perniagaan terkemuka, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, bernasib baik apabila lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental itu menyedari perbuatannya disedari sekumpulan anggota polis yang berkawal. Lelaki misteri itu kemudian berjaya meloloskan diri dan gagal dikesan polis dalam ribuan peminat yang bersesak-sesak semata-mata untuk melihat penyanyi berkenaan dari dekat.
Seorang saksi kejadian memberitahu, lelaki itu dilihat berusaha mendekati Siti dalam keadaan ribuan peminat yang bersesak-sesak di pintu masuk stadium ketika penyanyi berkenaan dan beberapa artis lain sedang menaiki bas untuk pulang ke hotel penginapan mereka.
"Dalam ribuan peminat itu, seorang lelaki dilihat memegang pisau lipat sambil berasak-asak untuk mendekati Siti. Bagaimanapun, dia gagal mencederakan penyanyi itu apabila perbuatannya disedari anggota polis bantuan yang bertugas sebelum melarikan diri," katanya.
Berikutan kejadian itu, Siti bersama anggota rombongan SRC diminta masuk semula ke bilik persalinan stadium sebagai langkah keselamatan. Difahamkan, penyanyi itu tidak menyedari cubaan lelaki itu mencederakannya, namun tiada laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Promosi SRC, Bard Deraman, ketika kejadian dipetik sebagai berkata pihaknya tidak mengetahui ada cubaan mencederakan Siti.
"Selepas segmen Siti bersama peminat selesai di stadium itu, kami masuk ke bilik persalinan sebelum mengambil keputusan pulang ke hotel penginapan.
Bagaimanapun, kami tidak menyedari pemandu bas yang sepatutnya membawa kami di luar stadium belum bersedia.
Ketika keluar dari bilik persalinan, memang ramai peminat sudah menanti Siti tetapi dikawal oleh anggota polis dan Rela. Malah, saya bersama abangnya, Ayie serta dua lagi penyanyi, Mazleela dan Norhaida turut mengiringinya keluar," katanya.
Bagaimanapun, disebabkan pintu bas masih belum dibuka, mereka terpaksa masuk semula ke bilik persalinan, malah tidak diberitahu langsung mengenai sebarang kekecohan atau cubaan mencederakan penyanyi berkenaan.
P/S: siapalah lelaki misteri tu |
|