Nibong Tebal: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengarahkan penternak babi di Perkampungan Jawi di sini membina parit tanah bagi mengatasi masalah sistem perparitan di kawasan terbabit.
Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya menerima aduan berhubung masalah parit tersekat di perkampungan berkenaan dan sudah membuat lawatan pada Rabu lalu.
Katanya, susulan daripada lawatan itu MBSP mengarahkan penternak babi di situ membina parit tanah dengan kedalaman 1.22 meter bagi mengatasi masalah perparitan di situ.
"MBSP memberikan tempoh dua minggu kepada penternak untuk melaksanakan pembinaan parit tanah berkenaan.
"Wakil jabatan kejuruteraan dijemput ketika kerja-kerja itu dilaksanakan," katanya di sini, hari ini.
Semalam, portal Harian Metro melaporkan sebahagian penduduk Kampung Jawi, Sungai Bakap di sini, mendakwa mereka menderita dengan ancaman banjir kilat dan bau busuk najis yang berpunca dari kandang babi berdekatan.
Keadaan bertambah buruk apabila kediaman mereka turut bergenang dengan najis babi setiap kali berlaku banjir kilat.
Menurut penduduk masalah itu berpunca daripada sistem perparitan di kawasan itu susulan kandang babi yang membuat kerja naik taraf didakwa tidak mengikut spesifikasi.
Oleh itu, mereka meminta pihak berkaitan tampil mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan.