|
Fahaman Hizbut Tahrir perlu ditolak kerana bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, pihak yang mendukung fahaman tersebut berpandangan bahawa negara-negara Islam semuanya negara kafir kerana berhukum dengan sistem kafir.
Justeru, katanya, fahaman Hizbut Tahrir boleh dikatakan kumpulan berideologi ekstrem.
“Umat Islam perlu merujuk fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengenai isu Hizbut Tahrir ini pada 17 September 2015.
“Kita harus bersama-sama menjauhi fitnah yang boleh membawa implikasi buruk kepada keharmonian akidah dan keselamatan negara,” katanya dalam satu perkongsian video di Facebook Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini.
Berdasarkan video berdurasi tiga minit 51 saat itu, Anhar menjelaskan, Hizbut Tahrir yang bermakna Parti Pembebasan adalah parti politik antarabangsa yang mengideologikan Islam dengan kaedah dakwah dan politik.
Tambah beliau, Hizbut Tahrir diasaskan oleh seorang tokoh bernama Taqiyuddin Nabhani yang hidup dari tahun 1909 hingga 1979.
“Hizbut Tahrir pernah menegaskan ia adalah organisasi politik bukan organisasi kerohanian, pendidikan, sosial dan lain-lain.
“Mereka juga mendakwa metodologi dakwah yang mereka amal dan praktiskan adalah berdasarkan kepada tahap dakwah Nabi Muhammad SAW iaitu Tahap Pembinaan Dan Pengkaderan, Tahap Berinteraksi Dengan Umat dan Tahap Pengambilalihan Kekuasaan,” katanya.
Sumber: K! ONLINE |
|