|
Kali pertama tampil dengan imej berhijab di pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021), pelawak Vicha Saywho berkata penampilan itu sama sekali tidak membataskan kreativitinya sepanjang menyertai pertandingan realiti itu.
Meskipun sudah menutup aurat, Vicha atau nama sebenar Refika Novianti Faturohman berkata dia masih individu yang sama kerana tujuannya berada dalam industri seni ini adalah untuk menghiburkan peminat.
Foto: IG
"Saya tetap Vicha yang sama, cuma agak gementar dengan penerimaan penonton MLM2021 nanti memandangkan ini kemunculan pertama di pentas selepas berhijab.
"ertamanya niat saya untuk hiburkan orang dan apa pun berlaku di atas pentas hanyalah lakonan sahaja... saya sendiri dah beri tahu ahli kumpulan Puteh iaitu Ali dan Mamak, jangan takut beri saya apa-apa watak. InsyaAllah saya akan cuba buat yang terbaik.
"Walaupun dah berhijab tapi saya rasa tiada masalah untuk lakukan apa sahaja lakonan kerana hijab bukan membataskan semuanya. Jika diberi watak bercinta atau babak romantik tak ada masalah, yang penting kita sendiri tahu apa yang boleh dan tidak," katanya kepada mStar.
Dalam Maharaja Lawak Mega musim kesembilan ini, Vicha menyertai kumpulan Puteh bersama Ali dan Mamak.
Sementara itu, pelakon Yo Lah Tu! ini mengakui rezekinya murah selepas mengambil keputusan mengenakan hijab sejak awal Ogos lalu.
"Sejujurnya masa nak berhijab tu ada juga perasaan takut sebab kita ini pelawak, terfikir mesti susah nak dapat job atau kerja tetapi saya sentiasa berdoa supaya dipermudahkan urusan.
"Alhamdulillah selepas berhijab saya dapat banyak tawaran lain, program TV mula panggil, rezeki lebih sekarang ini. Saya yakin Allah lebih tahu niat saya.
"Tawaran sebelum berhijab pun masih diteruskan, tiada yang menolak meskipun saya sudah bertudung. Malah, sekarang ini pun saya sedang berbincang untuk lebih banyak projek lain," ujarnya.
Bercakap mengenai pembabitannya bersama kumpulan Puteh, Vicha berkata dia akan membawa kelainan dalam MLM2021 kali ini.
"Sebelum ini saya pernah bersama kumpulan Saywho, Masin, JBorn dan untuk MLM2021 bersama kumpulan Puteh.
"Saya pun terkejut bila Puteh tawar peluang masuk kumpulan mereka, jadi memang saya tak lepaskan peluang ini... mungkin mereka pun mahu cuba kelainan," ujarnya.
MLM2021 akan mula bersiaran selama sepuluh minggu secara langsung dari Putrajaya International Convention Centre (PICC) mulai 15 Oktober, setiap Jumaat, pukul 9 malam.
Sebelas kumpulan yang terdiri daripada gandingan duo dan trio bakal berentap demi merebut hadiah kemenangan wang tunai RM500,000. -CARI
Sumber: mStar Online
|
|