[size=0.8]Hamzah Osman - Oktober 10, 2021 @ 8:35pm[email protected]
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor merasmikan Program Langkawi Great Sales 2021 di Oriental Village, Teluk Burau, Langkawi. NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Kebenaran merentas negeri yang diumumkan kerajaan hari ini, diumpamakan bonus kepada penggiat industri pelancongan di pulau ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ini kerana jumlah kemasukan harian pelancong ke pulau itu dijangka mencatatkan peningkatan mendadak bermula esok.
"Sepanjang dua minggu pertama bulan ini, secara purata 3,842 pelancong masuk ke pulau ini sehari, berbanding bulan lalu 2,583 orang, iaitu peningkatan kira-kira 1,300 pengunjung sehari.
"Pengumuman rentas negeri mulai esok macam bonus kerana ia telah memudahkan proses kedatangan pelancong ke pulau ini," katanya selepas merasmikan Program Langkawi Great Sales 2021 di Oriental Village, Teluk Burau, di sini, petang ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad dan Ketua Pegawai Ekesekuti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib.
Muhammad Sanusi berkata, seramai 73,571 pelancong mengunjungi pulau ini sejak dibuka sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan, mulai 16 September lalu.
"Pencapaian ini amat membanggakan dan dijangka kira-kira 700,000 pelancong mengunjung pulau ini sehingga akhir tahun ini, sekali gus melepasi sasaran awal seramai 400,000 orang.
"Dengan pengumuman aktiviti merentas negeri dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), saya yakin lebih ramai pelancong akan datang ke Langkawi dan tempahan hotel dijangka penuh," katanya.