Jabatan Trafik Polis Aceh menerbitkan buku fiqah lalu lintas yang menjadi panduan untuk memandu di jalan raya berdasarkan hukum Islam.
CNN Indonesia melaporkan, Pengarah Jabatan Trafik, Dicky Sondani berkata, penerbitan buku berkenaan ekoran berlaku banyak pelanggaran dan kemalangan lalu lintas di wilayah Serambi Mekah itu.
“Kami membuat buku perundangan lalu lintas ini kerana keadaan pelanggaran lalu lintas dan kemalangan di Aceh cukup tinggi. Buku ini disusun agar orang ramai menggunakan jalan raya menurut hukum Islam,” katanya dipetik Antara.
Anggota polis mengawal lalu lintas di Lhokseumawe, Aceh. - ANTARA
Menurut beliau, melalui buku itu orang ramai diharap mematuhi undang-undang Islam dalam menggunakan jalan raya sehingga dapat mengurangkan jumlah pelanggaran undang-undang dan kemalangan.
Jelasnya, peraturan lalu lintas pada dasarnya diatur dalam al-Quran dan hadis.
Buku fiqah itu katanya, meneroka dengan lebih mendalam peraturan lalu lintas yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis.
“Memang al-Quran tidak menyebut penggunaan topi keledar tetapi menyebut menjaga keselamatan,” katanya.
Tambahnya, buku itu disusun hasil kerjasama beberapa pihak termasuk Universiti Islam Negeri Ar Raniry, ahli agama dan Majlis Permusyawaratan Ulama.
Sumber: Utusan |