|
Video yang memaparkan aksi sekumpulan remaja berhijab yang asyik menari dalam kegelapan. -TikTok
Tular gadis bertudung ligat menari
JAKARTA – Sebuah klip video memaparkan aksi sekumpulan remaja perempuan yang lengkap berhijab leka menari di sebuah kafe menjadi tular di media sosial, lapor laman Suara.com semalam.
Memetik laporan laman portal berita Solopos,com, aksi kumpulan warga muda yang asyik menari diiringi alunan muzik itu dirakam oleh salah seorang pengunjung yang kemudiannya dimuat naik menerusi akaun TikTok @ratuchintyaa.
Pengguna akaun tersebut kemudian menggelar aksi tersebut sebagai ‘dugem halal’ yang bermaksud kelab malam ‘halal’ memandangkan pengunjungnya tidak perlu mabuk.
Menerusi rakaman video berdurasi 15 saat itu, kelihatan ramai gadis bertudung yang leka menari, menyebabkan netizen berkongsi pendapat menerusi ruang komen.
“Saya juga merupakan gadis berhijab dan pada pandangan saya, lebih baik tidak pakai hijab jika mahu berkelakuan sesuka hati,” tulis seorang netizen.
“Salah satu tanda kiamat, orang tidak mempedulikan apa yang halal dan apa yang haram,” tulis netizen lain.
Namun, sebilangan netizen lain yang mengatakan bahawa jangan menghukum orang lain hanya daripada sudut luaran.
“Jangan menilai orang kerana kita belum tahu keadaan sebenarnya. Fikir positif dan sama-sama perbaiki diri.
“Ini mungkin seperti menonton konsert, jangan masuk campur urusan orang lain,” demikian kata seorang pengguna laman sosial.
Video tersebut sehingga kini sudah ditonton lebih 50,000 kali dengan 37,000 tanda suka dan 3,000 komen. – AGENSI
|
|